Sunday, February 6, 2011

Ariel banduan selebriti porno


JIKA mengikut perancangan grup Peterpan yang dianggotai Ariel, Uki, Lukman dan Reza, tahun ini mereka bakal muncul dengan sebuah album baru.

Malah, pada Jun tahun lalu mereka sempat menyiapkan klip video single terbaru mereka.

Dalam klip video itu, Ariel, 29, digambarkan memiliki dua keperibadian iaitu kacak dan bengis.

Ia boleh ditonton di kaca televisyen manakala lagu itu juga boleh didengar menerusi radio.

"Sebulan lagi album itu akan dilancarkan," begitu Ariel pernah berkata.

Namun, rancangan itu gagal. Pada 3 Jun tahun lalu Ariel ditangkap pihak polis Indonesia gara-gara kes video lucah yang membabitkan dirinya dengan dua wanita selebriti, Cut Tari dan Luna Maya.

Insiden itu memusnahkan semua perancangan Peterpan. Pelancaran album ditunda, jadual pementasan terpaksa dibatalkan.

Pada Isnin lalu, Ariel atau nama sebenarnya, Nazril Irham didapati bersalah oleh sebuah mahkamah di Bandung.

Ketua Majlis Hakim, Singgih Budi Prakoso menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun enam bulan dan denda Rp.250 juta (RM84,312) ke atas Ariel.

Khabarnya empat buah pendingin hawa tidak mampu menyejukkan suasana panas di dalam Dewan Pengadilan Negeri Bandung semasa hukuman itu dibacakan.

Pada masa yang sama, Ariel, peminat Peterpan, wartawan dan orang ramai berkongsi perasaan yang sama.

Malah, kehadiran Luna Maya, sang kekasih Ariel juga tidak dapat meredakan debaran buat vokalis album Hari Yang Cerah itu.

Berkali-kali Ariel mengesat mukanya dengan tisu, keringatnya bercucuran.

Sebelum itu, di dalam mahkamah, dua orang hakim bergilir-gilir membacakan hasil perbicaraan kes yang bermula sejak 22 November lalu.

Hakim Agus Suwardi membacakan kesimpulan keterangan para saksi. Hakim Syahril Mahmud pula membentangkan hujah pihak pendakwa dan pembela.

Selepas dipertimbangkan daripada pelbagai sudut, hakim-hakim berkenaan bersetuju kes itu memenuhi unsur Pasal 29 No. 4 Undang-Undang Pornografi 2008.

Namun, Ariel bernasib baik hukumannya diringankan memandangkan usianya yang masih muda.

Tambahan pula dia tidak pernah dijatuhkan hukuman untuk kesalahan lain sebelum ini.

Di luar mahkamah, kenderaan yang membawa Ariel sempat dilemparkan telur dan tomato busuk oleh peserta demonstrasi.

Kira-kira 1,000 anggota polis dikerah untuk mengawal keadaan sepanjang perbicaraan Ariel berjalan.

Kes Ariel jelas menghadirkan dua kutub, satu yang mencintai dan menangisi nasib bintang rock itu manakala satu lagi yang terus-terusan mengutuk dan menghina perlakuan seksnya.

Takdir hidup Ariel untuk 42 bulan mendatang kini sah berlantai dan berdindingkan jeriji besi.

"Nasib, saya terima. Tapi proses hukumnya tidak!" pernah jejaka kelahiran 16 September 1981 itu memprotes sewaktu perbicaraan masih berlangsung.

Di sebalik hukuman dunia yang perlu dilalui Ariel, pasti ramai peminatnya menunggu untuk dia berkarya lagi.

Tidak hairanlah kalau kelak dia dan anggota kumpulan yang masih setia bersamanya bakal menjulang lagi fenomena penjualan album Bintang Di Surga iaitu antara album paling laris sepanjang sejarah muzik Indonesia iaitu tiga juta unit.

Mungkin juga Luna Maya sudah bersedia untuk bertukar status.

Buat masa kini, inilah nasib vokalis bernama Ariel - meringkuk selama 42 bulan di dalam penjara.

No comments:

Post a Comment