Sunday, February 27, 2011

Bicara seorang mualaf Daphne Iking @ Dahlia



"NAMA saya kini Dahlia," si cantik Daphne Eleanor Iking membuka bicara. Sebuah ikrar bahawa dirinya kini sudah bergelar Muslim dan memeluk Islam. Dahlia melafazkan dua kalimah syahadah pada tarikh bersejarah, 8 Januari 2011. Tarikh itu juga menyaksikan dia sekali lagi menyarung status isteri.

"Jangan segan untuk terus menggunakan nama Daphne," sambungnya.

Wanita keturunan Kadazan ini sudah lali apabila dirinya menjadi bahan bualan. Kisah rumah tangganya yang terdahulu terbuka luas, umpama buku yang dibuka lembar demi lembar.

Dia mahu menakluk privasi. Mahu menjadikan kehidupan peribadinya tidak terlalu terbuka. Dia seolah-olah mahukan segala ketenangan yang dulu seperti tidak melekat pada dirinya. Kini dia membuka buku baru, bergelar isteri dan rusuk kiri buat lelaki bernama Azmi.

Takdir menjadi mualaf

Mungkin ada yang berfikiran skeptikal, berkahwin dengan seorang Muslim bernama Azmi Abdul Rahman atau mesra disapa Joe membuatkan Daphne terpanggil memeluk Islam. Namun dia punya sebab tersendiri, punya rasa tersentuh dengan kemurniaan Islam dan menjadi salah seorang umat Nabi Muhammad S.A.W. Ini kisah bagaimana Daphne atau Dahlia akhirnya bergelar mualaf.

"Saya bertukar agama bukan kerana sesiapa. Saya lakukan dengan ketulusan hati, demi diri dan masa depan saya. Alhamdulillah, ia adalah pengalaman yang paling indah," tegasnya yang membikin kejutan kepada penonton Anugerah Sri Angkasa 2010 apabila melafazkan ungkapan 'MasyaAllah' dan 'Assalamualaikum' pada malam tersebut.

"Saya selalu berminat terhadap agama lain. Malah, saya datang daripada keluarga yang gemar membaca. Bahan bacaan ilmiah berbentuk kerohanian menjadi pengisi rak buku di rumah kami.

"Keluarga ibu saya juga merupakan campuran yang unik, datang daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama. Ia membuatkan kami sentiasa saling menghormati terhadap kepercayaan agama-agama lain," katanya.

Dia menamakan takdir sebagai titik yang mendekatkan dirinya terhadap Islam, bertemu rakan-rakan mualaf yang gemar bercakap indah tentang agama. Mendalami apa yang diperdengarkan di telinganya, Daphne secara semula jadi mendekati Islam dan sering mengutarakan soalan demi soalan kepada ustaz apabila berhadapan dengan keraguan.

"Kebetulan, pembantu rumah saya juga Muslim dan menunjukkan kepada anak saya cara kehidupan Islam. Langsung saya tidak terganggu dengan caranya. Malah bersikap terbuka terhadap pelajaran yang positif dan membangun," terangnya tentang buah hatinya Isobel yang juga sering membuat dirinya bahagia dan bercahaya.

Ujar Daphne, Isobel yang merangkak ke usia empat tahun merupakan anak yang cukup gembira, sihat walafiat dan cukup pintar.

"Dia terlalu muda untuk memahami semua ini tetapi apabila dia memerhatikan pembantu rumah saya solat dan cuba meniru dengan sejadah mininya, itu adalah momen yang cukup manis," terang ibu berusia 32 tahun ini.

No comments:

Post a Comment