Sunday, February 6, 2011

Tutup buku lama...Irma Hasmie Ibrahim



ENGGAN lagi bersuara me­ngenai lara episod putus cintanya, dramatis jelita yang tidak pernah lekang dengan senyuman, Irma Hasmie Ibrahim kuatkan hati untuk terus memacu ke depan.

Biarpun kepenatan berkejar ke lokasi penggambaran, wajahnya tetap berseri dan bertambah semangat meskipun pernah sekali sebelum itu, ekspresi suram menyelubungi. Jelasnya, tiada apa yang perlu dirintih lagi sebaliknya apa yang penting adalah diri sendiri dan kerjayanya.

Cuba mengalih topik yang sudah penat dijelaskan tetapi ia bagai tidak dapat dielakkan. Sembang sejauh mana pun, nama pelawak yang usah lagi dibicarakan itu tetap terpacul gara-gara dihujani publisiti sepanjang bermadu kasih.

“Malas untuk diceritakan tapi itu juga yang perlu saya hadapi. masa bercinta dulu, kami bukan macam belangkas tetapi itu tafsiran orang semata-mata. Jujurnya saya tidak selalu berkepit dengan kekasih namun disebabkan lapangan kami sama, justeru kami acap berkongsi majlis yang sama.“Setiap inci peribadi saya tidak perlu dikongsikan. Namun sebagai anak seni, saya menelan segala kisah yang tersebar sebagai asam garam. Saya berharap tiada lagi pihak cuba mengorek dan memaparkan kisah itu lagi kerana sesungguhnya, keperitan itu sudah berlalu dan kini masanya untuk saya meletak lebih fokus kepada kerjaya dan diri sendiri,” katanya.


Ruang kosong di hatinya kini masih kekal tidak berisi. Ketika ditanya, Irma terhenti lama, memilih kata-kata yang sesuai.

“Biarlah ia kosong sementara ini kerana saya amat lega, tiada lagi komitmen dan beban. Setidak-tidaknya, saya dapat meletak sepenuh fokus pada kerjaya dan tidak lagi berbicara soal peribadi. Maklumlah sekiranya kisah cinta itu terbongkar, pastinya ia akan menjadi umpan kepada pihak media. Lantas aspek kerjaya akan tenggelam kerana itu lebih membosankan.

“Justeru, kebetulan ia sudah tersurat, saya ingin membebaskan diri saya sepenuhnya. Tiada lagi soal serik untuk bercinta kerana jodoh dan rezeki itu adalah ketentuan yang mustahil untuk dipertikaikan. Biarlah segala-galanya berjalan sendiri tanpa sebarang andaian,” katanya.

Sakit hatinya bagai dikoyak-koyak, namun tertanya-tanya juga adakah masih ada sekelumit syukur di sebaliknya.

“Setiap yang berlaku ada hikmahnya dan saya bersyukur kerana segala yang tersurat mencipta sebuah penghijrahan buat saya secara peribadi. Ibarat satu nafas baru yang memberikan saya merasai ruang lain untuk menikmati erti sebenar kehidupan.

“Jika dulu ramai teman tidak mahu bertemu kerana bimbang saya milik orang lain. Namun kini, ada saja teman lama dan kenalan yang lama menghilang tiba-tiba kembali bertanya khabar. Ia lebih bermakna,” katanya.

Melihat sisi lakonan aktres berusia 28 tahun yang pernah menjayakan filem Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Bujang Senang dan Diva, pesona kehadirannya bagai masih samar dan belum benar-benar meninggalkan satu impak besar hingga melonjakkan namanya setinggi kisah peribadi. Masih ramai pemerhati industri yang hanya mengenali namanya menerusi artikel yang berbau kontroversi berbanding bakat.

Tatkala persoalan itu dilontarkan, anak gadis kelahiran Kuala Lumpur ini hanya tersenyum sebelum menyusun bicara.

“Soal popular tidak pernah pula dibayangkan. Malah sejak detik pertama melangkah sebagai anak seni, perspektif itu tidak pernah wujud sebaliknya saya hanya ingin mencari rezeki dan mencapai impian yang disimpan seorang wanita seperti saya. Jika popular alhamdulillah namun sekiranya masih belum, itu bukan masalah.

“Bagaimanapun saya akui senario itu di mana sebagai pelakon, saya masih lagi tampak baru dan kurang dikenali menerusi hasil lakonan. Namun itu bukan kerana saya kurang diberi peluang atau tawaran sebaliknya ia adalah kebetulan yang tidak dapat dielakkan. Saya akui memang kurang bertemu media untuk menceritakan aktiviti seni atau lakonan terbaru.

“Apa yang menjadi keutamaan adalah kerjaya lakonan yang ingin sekali saya bentuk hingga ia membuatkan saya popular satu hari nanti. Mungkin jika seseorang pelakon atau anak seni menjadi terkenal kerana hasil kerjanya ia akan lebih bererti. Soal cepat atau lambat meniti kegemilangan itu bukan satu masalah. Malah saya selalu percaya, jika seseorang itu terlalu mendadak popular, ia bukan menjamin untuk kekal terbaik dan diminati, sebaliknya lebih baik jika popular itu datang kemudian selepas menjadi yang terbaik, kesannya akan lebih bertahan. Itu yang menjadi paksi saya sekarang,” katanya tersenyum.

Terlanjur bercerita soal kerjaya lakonan, dramatis yang kini ligat mempamerkan sisi lakonan bersahaja menerusi drama siri Awan Dania musim ketiga di Astro Ria berkali-kali menyelit kisah menariknya sepanjang penggambaran bagi mengaburi persoalan mengenai cinta.

Watak Fifi yang disandang gadis kacukan Pakistan dan Cina ini dalam siri itu bersifat lurus bendul meskipun berjawatan peguam. Fifi teman akrab Dania yang sering dijadikan rujukan, watak itu jauh tersimpang daripada karakter sebenarnya namun dekat dengan jiwanya yang kini sendirian.

“Memang seronok kembali ke set penggambaran Awan Dania kerana keseluruhan tenaga kerja dan pelakon seperti sebuah keluarga. Kali ini saya memperdagangkan watak Fifi. Tiada apa yang baru namun kelainannya saya perlu lebih kepada ekspresi wajah atau lontaran dialog,” katanya.

Sibuk meneliti perubahan imej dan konsep fotografi yang diilhamkan Reza Amour petang itu, graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Telekomunikasi) dari Universiti Teknologi Malaysia ini sempat berkongsi luahan rasanya untuk menjadi wanita dan pelakon yang lebih baik meskipun tidak henti dihimpit badai.

Sedar akan kekurangan yang ada, pesona yang masih jauh untuk dicapai, bekas pembuka kotak program Roda Impian musim ke-11 ini masih mengharapkan sesuatu yang indah berlaku dalam kerjayanya.

“Berilah ruang untuk saya, jujurnya kerjaya saya masih jauh untuk disempurnakan. Usah lagi membebankan dengan benda yang sudah saya buang jauh. Saya mengharapkan kebahagiaan yang dicari akan datang buat saya, terutama dalam 2011.

“Insya-Allah jika kepercayaan produksi terhadap saya masih ada, saya idamkan sesuatu yang lebih berani dalam watak akan datang. Mungkin peminat dan mereka yang sentiasa menyokong lakonan saya akan melihat ­sesuatu yang berbeza. Pastinya, Irma Hasmie akan kembali dengan semangat dan firasat baru,” katanya.

No comments:

Post a Comment