Monday, February 14, 2011

Pemenang AJL25 Terima Habuan


PETALING JAYA: Pemenang Anugerah Juara Lagu 25 (AJL25) menerima habuan masing-masing pada Majlis Penghargaan Raikan Pemenang AJL25 di Seri Pentas, TV3, di sini, Isnin.

Penyanyi Ana Raffali menerima cek sebanyak RM35,000 apabila lagunya, Tolong Ingatkan Aku, menjadi juara AJL25.

Begitu juga dengan Meet Uncle Hussein dan Black yang mendapat tempat kedua menerima cek sebanyak masing-masing sebanyak RM15,000 diikuti pula dengan pemenang tempat ketiga, Hafiz, menerima cek sebanyak RM12,000 dan RM10,000 sebagai vokal terbaik.

Selain itu Faizal Tahir menerima cek sebanyak RM10,000 untuk kategori persembahan terbaik.

Menurut Ana, wang yang diterima itu akan dibahagikan kepada kumpulan pemuziknya, The Marheins serta orang terdekat yang banyak membantu Ana dalam penghasilan lagu tersebut.

Begitu juga dengan Meet Uncle Hussein, wang yang diperoleh itu akan digunakan untuk penggunaan projek-projek terbaru kumpulan tersebut.

"Pendekatan kumpulan kami ialah, kerja sama-sama dan hasil yang diperoleh juga akan digunakan bersama.

"Duit yang diterima itu kami akan belanjakan untuk projek baru kami pada tahun ini dan sedikit sebanyak ia mengurangkan beban kami dari segi pengeluaran modal," kata Taja, selaku ketua kumpulan MUH.

Faizal pula bercadang untuk memberi wang kemenangan tersebut kepada kumpulan pemuziknya, Royal FT Force.

Turut hadir untuk menerima wang kemenangan ialah komposer Ajai dan Sheikh Qalam yang mencipta lagu Noktah Cinta.

AJL25 yang berlangsung pada 9 Januari lalu itu berjaya meraih jumlah penonton sebanyak 4.2 juta dan ia juga memperlihatkan antara penganjuran program terbaik sempena meraikan ulang tahun jubli perak stesen televisyen tersebut.

No comments:

Post a Comment