Wednesday, August 3, 2011

Imej Semula Jadi Nadine


PEMENANG Miss Universe Malaysia 2010/2011, Nadine Ann Thomas, 25, tidak pernah menganggap hanya sekadar mahu memberi keutamaan terhadap kariernya dalam bidang peragaan.

Sebaliknya, dia lebih gemar menceburi bidang muzik sebagai deejay hip hop. Minatnya yang menebal dalam muzik sejak kecil diwarisi daripada kedua ibu dan bapanya.

Bermula Jun lalu, dia telah bernaung di bawah syarikat Art Talent milik penyanyi Reshmonu.

"Saya berhasrat untuk menghasilkan lagu tetapi buat masa ini akan memulakan karier sebagai 'spinning deejay' pada September ini. Setakat ini, saya masih lagi menjalani latihan untuk bergelar deejay.

"Saya memang menggemari lagu-lagu hip hop dan R&B dan jika bergelar deejay, saya boleh gabungkan pelbagai jenis muzik seperti retro, muzik India dan Cina," ujarnya kepada OopStarz!.

Selain itu, dia juga bergelar pelakon untuk sebuah filem berjudul Nasi Lemak 2.0 yang diarahkan oleh pengarah kontroversi Namewee, individu yang didakwa mempersendakan lagu Negaraku itu.

Filem berkenaan turut dilakonkan oleh Reshmonu, Dennis Lau, Datuk Arumugan (Alleycats).

Kulit berjerawat

Menyentuh tentang petua menjaga kecantikan sehingga dinobatkan sebagai juara Miss Universe Malaysia 2010/2011, Nadine akui dia bukan seorang yang terlalu obses dengan kecantikan.

Nadine hanya mengamalkan rutin penjagaan kulit setiap hari dengan menggunakan produk yang kurang mempunyai bahan kimia.

"Saya gemar menggunakan produk kosmetik Loreal, topeng muka Himalaya dan produk penjagaan badan Body Shop.

"Sewaktu usia sembilan tahun, saya mengalami masalah kulit berjerawat dan dinasihatkan tidak menggunakan produk kecantikan sembarangan dan lebih kepada produk yang diperbuat daripada bahan yang lembut.

"Sehingga usia 21 tahun, kulit saya kembali pulih apabila saya mengamalkan ubat yang seimbang dan menggunakan skrub muka.

"Selain itu, saya juga membuat rawatan muka sendiri di rumah seperti mencampurkan madu dan gula perang untuk dijadikan skrub muka.

"Rawatan ini bagus untuk melembutkan dan mencantikkan kulit yang saya amalkan sejak lima tahun lalu," katanya.

Beralih kepada penjagaan rambut, Nadine tidak pernah mengeritingkan atau meluruskan rambutnya kerana dia lebih selesa dengan imej rambut yang semula jadi.

Menganggap dirinya seorang yang sederhana, wanita ini juga melakukan urutan sendiri pada badan dengan menggunakan minyak Bio Oil pada setiap hari. Minyak itu juga dipercayai mampu menghilangkan parut yang ada.

Sebagai tambahan, Nadine juga menyapu losen pada badan agar kulitnya sentiasa lembap.Menyebut tentang berat badan, dia akui tidak mengamalkan diet secara keterlaluan sehingga mengganggu pemakanannya.

"Saya makan nasi pada tengah hari dan tidak bimbang dengan berat badan," katanya.

No comments:

Post a Comment