SHAH ALAM: Juara Mentor 5, Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Asis, 21, menghabiskan sebanyak RM10,000 untuk kegunaan sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
Kata Salma, wang tersebut diambil sedikit daripada hasil kemenangannya dalam Mentor 5 yang berjumlah RM100,000 untuk majlis kesyukuran dan rumah terbuka yang akan diadakan pada Hari Raya ketujuh di kampungnya, di Tawau, Sabah.
"Alhamdulillah, sejak diangkat menjadi juara Mentor 5, sekelip mata kehidupan saya sekeluarga berubah dan ada kalanya, terasa bagaikan mimpi pula.
"Sebab itulah saya ingin membuat majlis makan-makan secara kecil-kecilan khas buat keluarga dan peminat-peminat sebagai tanda bersyukur ke atas rezeki pemberian Tuhan.
"Kali ini juga saya berpeluang untuk berbelanja buat keluarga di kampung dan anak saya, Putri Nurul Huda (empat tahun). Memang rasa seronok sangat bila dapat berkongsi rezeki dengan orang yang disayangi," katanya.
Bagaimanapun tambah Salma, dia agak ralat apabila tidak dapat bersama keluarga pada awal sambutan Aidilfitri kerana mempunyai komitmen menghadiri pelbagai undangan persembahan.
"Bagi saya inilah pengorbanan sebagai seorang anak seni, tambah pula bagi orang baru seperti saya yang perlu bekerja keras untuk mengukuhkan karier.
"Apa-apa pun, saya bersyukur kerana keluarga faham dengan situasi saya ini. mana tahu, pada tahun depan, saya dapat bersama dengan mereka pada awal raya tahun depan," ujarnya.
Salma bakal muncul menerusi program Mentor Raya 2011 yang akan disiarkan pada 11 September nanti, pukul 9 malam, menerusi saluran TV3.
No comments:
Post a Comment