Tuesday, August 9, 2011

Nasha Aziz teruja jadi ibu


TIDAK dapat membayangkan bagaimana agaknya apabila aktres dan model jelita Nasha Aziz menjadi seorang ibu.

Namun, itulah kelebihan menjadi seorang pelakon seperti Nasha kerana dia boleh menjadi sesiapa sahaja di layar lakonan.

Menerusi siri televisyen yang kini sedang hangat ditayangkan di TV3, Supermak, Nasha berpeluang melakonkan karakter ibu kepada dua orang anak.

Namun, dia bukan sembarangan ibu tetapi ibu yang mempunyai kuasa luar biasa, malah dia boleh dikatakan seorang adiwira.

Naskhah terbitan Filmscape Sdn. Bhd. yang masih menjalani penggambaran pada bulan Ramadan ini mengisahkan tentang seorang ibu dan suri rumah sepenuh masa lakonan Nasha Aziz yang mempunyai kekuatan dan kelajuan seorang adiwira. Keistimemewaan kuasanya diwarisi daripada keturunannya iaitu daripada sebelah nenek moyang Nasha yang berasal dari Kepulauan Riau.

Tampak sopan dan lemah lembut di rumah menjaga kebajikan suami dan dua orang anaknya, tetapi apabila berada di luar rumah Nasha merupakan adiwira yang menghapuskan penjahat.

Bercerita tentang wataknya, Nasha mengakui dia cukup teruja. Malah, Nasha juga dikatakan sanggup menjalani uji bakat kerana menganggap drama tersebut luar biasa.

“Saya sanggup pergi uji bakat untuk drama Supermak. Memang pendirian saya akan terima tawaran drama yang boleh membuatkan saya jatuh cinta dengan jalan cerita dan wataknya.

“Sebelum ini banyak tawaran telefilem dan drama bersiri saya tolak sebab tidak berkenan dengan jalan cerita dan juga watak,” katanya menjawab mengenai dirinya yang kurang muncul di dalam drama mahupun telefilem sejak kebelakangan ini.

Tidak gentar melakukan apa jua babak aksi yang dikehendaki pengarah, Nasha bagaimanapun mengakui berdepan dengan cabaran lain semasa penggambaran Supermak.

Satu-satunya pengalaman yang tidak pernah dirasai olehnya iaitu menjadi ibu kepada dua orang anak.

“Saya tidak menghadapi masalah untuk menjayakan babak aksi atau romantis. Yang tidak biasa adalah untuk menjaga anak yang kecil. Jaga baby sangat mencabar,”-katanya.

Tambah Nasha lagi: “Sebabnya kena ikut mood dia. Kita tidak tahu bila dia bersedia, menangis dan mahu ketawa, jadi kami buat macam-macam untuk hasilkan yang terbaik.

Namun, Nasha mengakui menghadapi kesukaran apabila berlakon dengan kanak-kanak, apatah lagi bayi yang baru berumur setahun.

“Namun saya akui juga kesukaran itu adalah disebabkan saya sendiri tiada pengalaman menjaga baby. Pernah terjadi babak bersama adik ini terpaksa ditangguhkan dua hari kerana mood dia yang tidak berapa baik pada hari itu,” jelasnya lagi mengenai adik Haider Harris, satu tahun, yang berlakon sebagai anak keduanya dalam Supermak.

Keterujaan Nasha untuk berlakon dalam drama itu juga membuatkan pendiriannya berubah.

“Terus terang, selepas lima tahun tidak ambil job pada bulan puasa, ini kali pertama saya berlakon dalam bulan Ramadan,” katanya.

Melihat pada jalan cerita Supermak ia sememangnya berbeza dengan cerita-cerita adiwira yang ada sebelum ini.

Ia ditekankan oleh pengarah Supermak, Prem Anand Pallai yang penuh berkeyakinan drama tersebut mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu menarik penonton.

“Drama ini mempunyai kekuatannya sendiri. Supermak bukan sahaja drama aksi tetapi juga drama komedi dan kekeluargaan. Di samping aksi seorang ibu yang cekap menguruskan hal rumah tangga dan masalah jenayah. Saya yakin drama ini akan mempunyai pengikut terutamanya seisi keluarga,” tegasnya.

Selain Nasha, drama bersiri 13 episod yang ditayangkan menerusi slot Aksi pada setiap hari Isnin pukul 9 malam itu turut dibintangi oleh Azhan Rani, Zul Yahya, Zara Zya, Amirul Hadi, Rosli Sako, Syawal AF, Henzy Andalas dan Melly Amalin.

No comments:

Post a Comment