LEBARAN pelakon Faezah Elai, 29, tahun ini tidak begitu terasa memandangkan dia bakal melangsungkan akad nikah pada 9 September ini di kediaman keluarganya di Pulau Pinang.
Bukan raya lagi menjadi keutamaan pemilik nama sebenar Noor Faezah Md. Elai itu sebaliknya persiapan perkahwinannya harus dititikberatkan menjelang tarikh resepsi pada 3 Disember ini.
“Sekarang ini memang sudah sibuk sangat sampai tak sempat rasa raya. Nasib baik saya sudah mula bercuti pada 25 Ogos sampai 14 September ini untuk bantu menyiapkan persiapan perkahwinan,” katanya ketika ditemui selepas menjayakan pertunjukan fesyen raya di Pusat Beli-Belah Great Eastern, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menjelang 9 September ini, pada sebelah pagi heroin drama popular Asmara itu akan melakukan majlis khatam Quran manakala selepas solat Jumaat dia akan diakad nikah bersama pengarah drama, Heykal Hanafiah.
Selepas sahaja majlis pernikahan, anak sulung daripada tiga beradik itu akan terbang ke London untuk menjalani penggambaran filem Tanda Putra Negara arahan Datuk Paduka Suhaimi Baba.
“Memang saya sibuk sangat sebelum mahupun selepas akad nikah nanti. Sebelum akad nikah saya sibuk dengan pengambaran slot Samarinda, Jiwa dan Lara, dan selepas akad nikah pula saya akan menjalani pengambaran filem Tanda Putra Negara di London. Dalam filem itu saya memegang peranan sebagai Allahyarham isteri Allahyarham Tun Abdul Razak,” katanya mengenai rezekinya yang hadir mencurah-curah ketika ini.
Kahwin di pantai
Tuah badan Faezah apabila majlis perkahwinannya pada 3 Disember itu turut ditaja beberapa pihak. Untuk pelamin dan dekorasi resepsi di sebelah keluarga Faezah di dewan Sungai Ara nanti ia akan ditaja oleh Butik Puteri di Pulau Pinang manakala baju Faezah untuk kedua-dua resepsi pula akan ditaja oleh pereka terkenal, Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini.
“Nasib baik segala persiapan perkahwinan dibantu keluarga. Saya juga bersyukur kerana ramai yang mahu taja perkahwinan saya termasuk Butik Puteri, Hatta Dolmat dan juga Rizman Ruzaini. Sehingga kini persiapan perkahwinan saya sudah hampir selesai,” katanya yang berharap segala spekulasi buruk mengenai dirinya dan bakal suami akan berhenti selepas mereka berkahwin.
Sebelum ini, Faezah pernah dikaitkan menjadi punca kepada keretakan rumah tangga Heykal, namun pelakon berasal dari Gelugor, Pulau Pinang itu menafikannya.
Faezah turut mengaku mengenali Heykal semasa sama-sama terlibat dalam drama Asmara. Malah, mereka mula serius selepas lelaki itu bercerai.
Dijolok soalan kenapa dia membuat pilihan duda sebagai suaminya, kata Faezah, semuanya disebabkan jodoh yang sudah tertulis.
“Sudah tertulis bahawa jodoh saya dengan dia. Walaupun baru kenal tetapi saya rasa begitu serasi bersamanya. Saya tidak menunggu lama untuk terima lamaran daripadanya,” ujarnya yang menerima kunjungan merisik daripada keluarga Heykal pada bulan April lalu.
Menyentuh mengenai resepsinya yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 Disember ini, impiannya untuk mengadakan majlis resepsi ala pantai terlaksana apabila keluarga di sebelah Heykal sanggup melakukannya.
“Memang pada awalnya saya mahu buat ‘beach wedding’ di pihak saya tetapi kalau buat resepsi dekat pantai cuma 200 lebih sahaja jemputan yang boleh hadir. Sedangkan saya mahu jemput bukan sahaja keluarga tetapi juga rakan media dan peminat untuk hadir di majlis itu nanti.
“Disebabkan itu, resepsi pantai akan diadakan di sebelah pihak Heykal manakala saya pula akan mengadakan majlis resepsi di dewan,” katanya yang akan menjemput lebih 2,000 orang tetamu.
Bunga api
Tidak lengkap ceritera Faezah jika tidak ditanya mengenai sambutan rayanya pada tahun ini. Mengakui cukup gemarkan hidangan nasi tomato dan lauk ayam masak merah daripada maknya, lebaran juga tidak lengkap kalau dia tidak menjamah lemang dan ketupat yang berintikan kacang.
Faezah juga beraya ke rumah bakal suaminya pada hari raya kedua di Kulim, Kedah.
Berkongsi mengenai memori rayanya, kata Faezah, setiap kali raya dia akan bermain bunga api. Faezah turut mengaku masih suka bermain bunga api sehingga kini.
“Memang seronok sangat kalau masa raya dapat main bunga api. Sehingga berlaku satu insiden bunga api pada saya. Masa sekolah rendah dulu, seronok sangat main bunga api sampai tak sedar baju raya berlubang kena bunga api. Sampai sudah saya tak beritahu mak takut kena marah,” ceritanya.
Faezah turut memberitahu, dia tidak dapat mengadakan rumah terbuka pada tahun ini kerana begitu sibuk menguruskan persiapan kahwinnya.
No comments:
Post a Comment