Thursday, August 4, 2011

Irma Hasmie Belum Fikir Berhenti Berlakon


KUALA LUMPUR: Pelakon Irma Hasmie belum terfikir untuk berhenti daripada kerjayanya sebagai pelakon kerana sudah berubah imej apabila bertudung.

Menurut Irma, selagi cara pengurusan masanya dan beberapa syarat yang ditetapkan masih lagi boleh diterima pihak produksi drama, dia akan meneruskan karier lakonan yang sudah sebati dalam diri.

"Setakat ini hati saya belum terdetik lagi untuk berhenti daripada bidang lakonan sejak bertudung. Alhamdulillah pihak produksi begitu memahami cara saya bekerja.

"Saya bukannya tetapkan syarat yang bukan-bukan, cuma saya meminta mereka untuk memperuntukkan masa selama 30 minit setiap kali waktu solat kerana mahu membuang dan memakai solekan," katanya.

Tambah Irma, berimej tudung bukanlah menjadi satu alasan untuk dia sukar menunaikan tugas lakonan kerana baginya pengurusan masa amat penting dalam bidang tersebut.

"Saya percaya, selagi kita bijak menguruskan masa, insya-Allah, apa-apa perkara yang ingin dilakukan akan terlaksana.

"Setakat ini, saya tidak ada masalah dengan setiap penggambaran yang dilakukan. Watak yang ditawarkan juga sesuai dengan imej saya," ujarnya.

Tambah Irma, dia juga bersyukur kerana sehingga kini, dirinya tidak putus-putus menerima tawaran berlakon serta menjadi pengacara.

Ditanya pula adakah dia sudah mempunyai kekasih baru sejak putus cinta dengan Nabil Raja Lawak, kata Irma, hatinya masih lagi belum dimiliki.

"Kalau boleh, saya tidak mahu bercinta dan bergelar 'kekasih' seperti sebelum ini.

"Bila berjumpa dengan lelaki yang sesuai, saya mahu kahwin terus. Tetapi, saya kenalah kenal dirinya dalam masa beberapa bulan dahulu. Nanti tersalah pilih pula," selorohnya yang bakal mengacara program Solehah di TV AlHijrah.

No comments:

Post a Comment