Monday, August 29, 2011

Gema Syawal Sheila Majid


RATU jazz negara, Datuk Sheila Majid, 46, masih cantik dalam usianya itu malah aura yang tersimpan dalam figura genit itu sungguh mempesonakan.

Hingga ke hari ini, namanya masih tersemat utuh dalam kalbu peminatnya yang menggemari stail, muzik dan identiti yang dibawanya sejak album sulung Dimensi Baru pada tahun 1985 lagi.

Kesempatan yang diberikan untuk Kosmo! berbicara dengan penyanyi kesayangan ramai itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membicarakan kemeriahan sambutan lebarannya selain ceritera terkini empunya nama Shaheila Abdul Majid atau serasi dengan panggilan Sheila Majid.

Bagi isteri kepada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hasridz Murshim Hashim Abdullah atau mesra disapa Acis itu, sepanjang hidupnya sambutan raya hanya berkisar di bandar raya Kuala Lumpur.

“Orang banyak tak tahu Kuala Lumpur memang kampung saya dan Acis, sejak lahir saya beraya di sini,” katanya.

Tambahnya, raya di kampung orang tidak sama dan semeriah menyambutnya di ibu kota Kuala Lumpur.

“KL (Kuala Lumpur) memang kampung saya, apa yang penting hari raya memberi peluang untuk berkumpul dan berjumpa sesama sanak saudara tak kisah di mana-mana sekali pun,” katanya yang menyelami makna sebenar hari raya dalam erti kata lebih jelas.

Ujar pelantun lagu Ku Mohon itu lagi, bulan Syawal juga peluang untuk mengeratkan hubungan dan tali persaudaraan sesama anggota keluarga.

“Kalau pagi raya, biasanya selepas pulang daripada sembahyang sunat Aidilfitri kami akan menyambutnya dengan ibu saya (Datuk Paduka Saadiah Adam, 86) dan ke rumah ibu mentua di Damansara.

“Kemudian, lebih kurang pukul 11 pagi kami akan pulang semula ke rumah dan menantikan keluarga tujuh adik-beradik saya yang lain datang ke rumah,” cerita figura yang masih tinggal bersama ibunya hingga kini.

Memilih rendang ayam ibunya sebagai juadah paling istimewa tatkala menyambut hari kemenangan umat Islam itu, Sheila turut berkongsi nikmat perayaan berkembar Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ke-54 pada tahun ini.

“Oleh kerana Syawal menjelang pada masa yang sama kita menyambut Hari Kemerdekaan negara, saya bersyukur dengan kedua-dua sambutan hari kemenangan ini yang disambut serentak dalam keadaan negara kita masih aman damai dan dilimpahi nikmat Yang Maha Esa,” ucapnya.

Menjelang sambutan Aidilfitri, ujar ibu kepada empat cahaya mata itu, segala persiapan dibereskan sejak minggu pertama berpuasa.

“Tahun ini warna tema keluarga saya ialah merah jambu, kalau baju raya saya akan dahulukan anak-anak dan rasanya tahun ini cukup sekadar sepasang baju raya pada hari raya pertama untuk saya,” cerita ibu kepada Wan Nur Khaleda, 20, Megat Abdul Majid, 17, Khadeja Zaireen, 7 dan Khalefa Laila, 4.

Album raya, konsert

Menjelang fasa terakhir bulan penuh barakah, Sheila juga tampil dengan album raya berjudul Memori Aidilfitri yang memuatkan sembilan buah lagu.

“Kebanyakan lagu yang terkandung dalam album raya itu digubah semula daripada lagu-lagu nostalgia Aidilfitri untuk mendekatkannya dengan jiwa generasi muda sekarang,” tuturnya.

Ini termasuk dua lagu raya nyanyian ratu jazz tanah air itu iaitu Hari Mulia dan Tiba Hari Mulia yang diberi nafas baru termasuk beberapa lagu hari raya yang dinyanyikan semula seperti Suasana Hari Raya (Anuar Zain & Elina), Selamat Hari Raya dan Suasana Hari Raya (Sharifah Aini).

Selain itu, sebuah single terbaharu, Tiada Lagi turut terkandung dalam album itu yang sudah pun menemui pendengar di corong-corong radio pada minggu terakhir Ramadan.

Dalam pada itu, penyanyi jelita itu juga terlibat dalam persiapan untuk konsertnya di Sabah dan Perth, Australia menjelang akhir tahun ini.

Tiada konsert terbuka buat masa sekarang memandangkan tahun lalu Sheila terlalu sibuk dengan sambutan ulang tahun ke-25 tahun karier seninya, justeru yang ada hanya persembahan korporat.

“Pada hujung bulan September saya akan mengadakan konsert di Sutera Harbour, Sabah berkonsepkan teater dan persembahan korporat untuk Malaysian Chinese Chambers of Commerce dan kemudian di Ellington, Perth pada bulan Oktober pula,” jelasnya yang masih menjadi duta Institut Jantung Negara dan Prudential selain menjadi jurucakap produk Diamond Water Filter.

No comments:

Post a Comment