Thursday, August 11, 2011

P.O.P Perjuang Lagu Etnik Sabah


PETALING JAYA: Empat pemuda dari Sabah yang menggelar diri mereka Prince of Pop (P.O.P) yakin lagu-lagu etnik negeri itu berjaya diangkat sebagai karya popular jika penghasilannya dilakukan dengan baik.

P.O.P yang dianggotai oleh Aye, Benn, Aegy dan Vin berkata, dengan mempertaruhkan lagu-lagu etnik negeri itu ia sedikit sebanyak dapat menaikkan identiti mereka sebagai anak jati Sabah.

“Bakat kami mula diterima selepas penyanyi dan komposer Cat Farish menonton video nyanyian kami di laman YouTube pada tahun lalu. Selepas itu dia meminta demo lagu dan kami menghantarnya dalam bahasa Kadazan berjudul “Ada Hivai Dandi Toh” (Jangan Lupa Janji Kita) dan “Nung Noilaan Ku” (Jika Ku Tahu).

“Kami yakin, dengan muzik dan lagu berunsurkan Sabah pasti memberikan kekuatan kepada identiti kami sendiri memandangkan kami semua anak Sabah,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Vin mewakili P.O.P: “Selepas bertemu dengan Abang Cat, dia menggubah lagu pertama kami berjudul Buku Baru manakala lagu kedua digubah oleh kami bersama Abang Cat berjudul Main Jauh Jauh.

“Lagu “Buku Baru” menjuarai carta Borneo Era di Era FM, Kota Kinabalu selama beberapa minggu.

“Selepas ini, kami bercadang untuk menghasilkan lagu “Main Jauh Jauh” dalam bahasa Kadazan pula untuk dikomersialkan di Sabah.”

Kumpulan ini berasal dari kumpulan Triple Prince, gabungan nama dua kumpulan yang menyertai program realiti Gangstarz musim pertama dan ditubuhkan pada tahun 2006.

Bagaimanapun, pada 2007 nama telah ditukarkan ke Da’Prinz setelah gagal kali kedua mencuba program realiti Gangstarz musim kedua.

Sejak daripada itu, mereka sering membuat persembahan dari daerah ke daerah termasuk Sandakan, Beluran , Ranau dan Kundasang.

Pada tahun 2009, mereka mewakili artis Sabah untuk Pesta Gawai Keamatan yang berlangsung di Kuching Sarawak anjuran RTM. Malah lagu mereka turut menjadi juara carta lagu Kadazan di radio RTM Sabah.

Kemudian, pada 2010, mereka bertemu Cat Farish dan dilamar untuk menjadi artis rakaman Cat Presents Production Sdn Bhd dan “single” pertama mereka menjadi runut bunyi untuk drama slot akasia TV3 iaitu “Seribu Kali Cinta” lakonan Kamal Adli, Intan Ladyana, Nurkiriah dan Cat Farish.

Nama mereka ditukar ke P.R.Inc oleh Cat Farish dan terus diolah ke P.O.P

No comments:

Post a Comment