Friday, August 5, 2011

'Forget Me Not' Papar Konflik Keluarga


PETALING JAYA: Drama bersiri berbahasa Cina berjudul Forget Me Not yang memaparkan pergolakan keluarga akan disiarkan bermula 2 Ogos ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam di saluran ntv7.

Pengurus Jenama ntv7, Lai Cheah Yee berkata drama itu berkisar tentang kisah cinta dan konflik keluarga yang unik dan sesuai dijadikan tontonan seisi keluarga.

"Kami yakin dengan drama baru ini akan berjaya seperti drama tempatan ntv7 yang pernah disajikan dan mendapat sambutan baik para penonton,

“Menurut satu kajian, drama bersiri dari Hong Kong di ntv7 seperti Seeds of Life, Footprints In The Sand dan terbaru Destiny in Her Hands telah menerima rating tinggi iaitu seramai 583, 000 penonton Cina," tambahnya.

Drama 13 episod ini telah menggabungkan barisan pelakon baru dan lama seperti Remon Lim, William San, Coby Chong, William San, Coby Chong, Wayne Chua, Jordan Voon, Angela Chan, Andrian Tan dan Shi Fu Ru.

Berlatarkan tahun 2011, kisah ini bermula apabila Malaysia dikejutkan dengan kes culik-bunuh seorang hartawan perniagaan barang kemas yang juga Ketua Pegawai Operasi Syarikat Lee, Xue Ming (Remon Lim).

Suspek yang berjaya dikenal pasti ialah bekas pekerjanya sendiri, Wei Yi (William San). Setelah diberkas, pihak polis mengetahui bahawa Wei Yi sebenarnya anak kepada Xue Ming pada perkahwinannya yang lalu.

Kisah ini kemudian mengimbas semula sebuah bandar kecil di pedalaman Malaysia 33 tahun yang lalu. Xue Ming yang masih gadis ketika itu telah diperkosa seorang samseng bernama Shao Bing dan mengandung sejurus itu.

Suaminya, Shao Bing seorang yang pemalas, suka mendera, tamak, kaki mabuk dan kaki judi juga seorang penagih dadah. Dia sentiasa menjadikan Xue Ming dan dua orang anaknya sebagai sasaran untuk mendera dan melepaskan marah.

Suatu hari, Shao Bing memaksa Xue Ming dan anak-anaknya untuk menyeludup dadah dalam satu operasi haram. Bagaimanapun, operasi itu gagal dan Shao Bing telah ditangkap. Di tengah kekalutan itu, Xue Ming mengambil peluang itu untuk melepaskan diri dan anak-anaknya.

Ketika melintas jalan, Wei Hao telah dilanggar kereta dan Wei Yi pula cuba menyelamatkannya. Namun Xue Ming, nekad meninggalkan mereka dengan azam memulakan hidup baru.

Dalam pada itu, syarikat barang kemas jenama Amee Philips telah berbesar hati untuk menaja lapan barangan kemas mewah dalam peraduan secara dalam talian. Penonton berpeluang memenangi salah satu barangan kemas yang eksklusif ini dengan hanya menonton Forget Me Not.

No comments:

Post a Comment