Thursday, August 4, 2011

Takdir Neelofa


BELUM pun cukup setahun perjalanan karier seninya, gadis genit ini telah dikaitkan menjadi punca perpisahan antara dua pelakon jelita Maria Farida dan Nur Fazura bersama pasangan masing-masing.

Mengungkap kisah yang dikaitkan dengannya, awal penglibatan dalam industri lakonan menerusi filem Azura bersama Shahz Jazle, Neelofa atau nama yang diberi Noor Neelofa Mohd. Noor telah dikatakan menjadi penyebab punca perpisahan aktor muda itu bersama kekasihnya yang juga merupakan seorang pelakon senior, Maria Farida.

Belum sempat cerita panas tersebut selesai, baru-baru ini muncul pula cerita mengenai perselisihan faham antara Neelofa bersama pelakon wanita yang sama-sama terlibat dalam drama lakonannya, Tahajjud Cinta iaitu Fazura yang mana ia juga dikaitkan dengan kisah percintaan.

Sebelum ini Fazura dikatakan bercinta dengan seorang kerabat diraja sebuah negeri dan tiba-tiba artikel-artikel 'panas' tersebar di Internet mempersoalkan tentang kebenaran gosip Neelofa dan Fazura bergaduh berebut seorang kerabat diraja.

Sebagai seorang pendatang baharu, kontroversi yang melanda diri mungkin sedikit sebanyak mengganggu perjalanan karier yang baru ingin dibina oleh pemenang Dewi Remaja 2010 ini.

Namun, lain pula pendapat Neelofa atau lebih mesra disapa sebagai Lofa yang memandang positif terhadap kontroversi yang hadir ketika kariernya ingin ke puncak.

"Bagi Lofa, dalam industri seni, peribadi dan karier adalah dua perkara berbeza. Bila perjalanan karier diselitkan dengan kontroversi-kontroversi peribadi, perkara itu terpulang kepada Lofa bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Ini kerana selagi kita tahu bagaimana untuk menguruskan urusan peribadi, jadi ia bukan merupakan masalah untuk seseorang artis itu naik. Bagaimana teruk pun kontroversi yang dilanda ke atas seseorang artis itu, jika dia punya bakat yang sangat baik, maka dia akan terus disukai masyarakat," jelas Lofa ketika ditemubual semasa penggambaran program Paparazzi bertempat di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur.

Tambahnya, tiada sebab kenapa dia mahu mewujudkan perkara sebegitu untuk dikenali. Bagi empunya diri yang baru berusia 22 tahun ini, dia tidak kisah jika perlu merangkak setapak demi setapak untuk ke puncak kerana berpendapat itu merupakan jalan yang patut ditempuhinya.

"Kalau sudah suratan takdir, Lofa reda terhadap apa yang diberikan. Mengenai rimas atau tidak, Lofa tidak mampu berkata kerana ia merupakan pendapat masyarakat," tutur Lofa yang juga menegaskan dia akan membuktikan kepada masyarakat dengan bakat yang ada dan mungkin itu akan mengubah persepsi masyarakat dirinya kelak.

Menurut Neelofa lagi, hal-hal yang berkaitan kisah peribadinya hanya untuk pengetahuan dirinya sendiri sahaja.

Katanya, biarlah orang luar ketahui apa yang mereka tahu, namun penjelasan tidak perlu diberikan kepada sesiapa.

Berfikiran positif terhadap apa yang terjadi, Neelofa menyedari setiap artis tidak dapat lari dari kontroversi mahupun cerita negatif. Sebagai seorang insan, dia tahu apa yang dibuatnya dan juga menegaskan jika ada mulut yang ingin berbicara mengenai perihalnya, dia tidak dapat menghalang mulut orang ramai dari bercerita.

Pengalaman pertama

Sempena bulan mulia Ramadan, pelakon dan hos program Paparazzi terbitan KRU TV ini sering pertimbangkan tawaran berlakon yang ingin diterimanya.

Ini kerana, bagi dirinya yang merupakan tahun pertama bergelar seorang artis, dia ingin memanfaatkan Ramadan dengan tidak mahu ponteng puasa dan bersembahyang tarawih pada setiap malam Ramadan.

Ketika ditanya mengenai perasaan setelah bergelar artis, ujar anak ketiga dari sembilan adik-beradik ini berkata, apa yang dirasakan tidak lari daripada sebelumnya.

Namun, apa yang membezakan kini mungkin apabila pulang ke kampung dan ketika di luar, ramai yang datang bertegur sapa walau tidak dikenalinya.

"Perasaan sama sahaja namun perbezaannya ialah mungkin balik kampung apabila beraya kelak, keluarga, sanak saudara, dan jiran mungkin gembira melihat saya memandangkan kini saya telah bergelar seorang artis.

"Tidak dinafikan juga, privasi diri semakin berkurangan selepas bergelar selebriti. Namun, Lofa perlu membiasakan diri dengan keadaan itu kerana ia sesuatu yang lumrah buat artis," jelas pelajar jurusan Perniagaaan yang mengkhusus dalam Perdagangan Antarabangsa dan Pemasaran di Sunway University College, Petaling Jaya Selangor itu.

Jujur mengakui bahawa perkara tersebut memang punyai keburukan, si empunya diri reda dengan apa yang telah dipilihnya dan tekad menetapkan minda perlu meredah lautan tersebut walaupun diri suka atau tidak.

Di sebelah lain pula mengatakan mungkin wujud kebaikan di sebalik kejadian yang berlaku. Sebagai contoh, jika seseorang artis tersebut menjalankan perniagaan apa sekalipun, masyarakat akan tahu mengenainya dan secara tidak langsung, ia merupakan promosi terhadap perniagaan yang dijalankan.

Apa yang menariknya, gadis kelahiran Kelantan ini sudah pun mempunyai perniagaan yang menggunakan nama sendiri bagi jenama produk yang dijualnya.

"Lofa sudah pun memulakan perniagaan ini sejak setahun yang lalu. Kasut-kasut ini bukan direka oleh Lofa tapi Lofa pilihnya daripada sebuah katalog dan sumbernya dari luar negara. Kasut ini dibuat penjenamaan semula dengan menggunakan nama Lofa pada mulanya.

"Namun, stok baru kasut-kasut tersebut akan mula menggunakan nama Neelofa dan kasut ini boleh didapati secara online pratempah di www.neelofaheels.blogspot.com," jelasnya sambil memberitahu harga kasut boleh didapati di antara RM120 hingga RM400.

No comments:

Post a Comment