Friday, August 5, 2011

Tajaan RM12 juta dan rumah tangga Norman, Memey


SAYA mengucapkan tahniah kepada pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza kerana dua perkara. Pertama, apabila Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Jumaat lalu membebaskan dan melepaskan mereka atas tuduhan berkhalwat yang terjadi tiga tahun lalu.

Perkara kedua apabila mereka akhirnya membuat pengakuan rasmi akan bernikah pada 24 September depan.

Majlis resepsi akan diadakan secara gilang-gemilang mengalahkan perkahwinan diraja pada 28 September di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur. Kedua-duanya mendapat tajaan RM12 juta daripada syarikat barangan kemas dan juga butik pakaian pengantin.

Wow... jumlah yang cukup banyak untuk selebriti seperti Norman dan Memey. Perkahwinan pertama Norman dengan Abby Abadi tidak cecah pun jumlah itu.

Saya gembira dengan sebuah perkahwinan. Ia satu petanda akan kesetiaan ikatan cinta yang diakhiri dengan ijab kabul.

Norman melalui detik-detik yang cukup hebat dalam kehidupan rumah tangganya. Perkahwinannya dengan Abby dicemari apabila mereka menyembunyikan majlis pernikahan yang diadakan di Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur secara sorok-sorok.

Selepas itu, rumah tangga mereka hancur berkecai kononnya Memey dikatakan menjadi penyebab.

Memey pun sama. Pada mulanya kata Memey, Norman hanyalah seperti abang angkat. Akhirnya mereka ditangkap atas tuduhan khalwat dan seterusnya menjadi pasangan kekasih sebelum mengumumkan untuk bernikah.

Sebenarnya menjadi seorang bernama Norman Hakim dan Memey bukannya senang. Mereka melalui banyak cabaran dalam hidup sebelum disatukan di alam rumah tangga.

Dan cabaran terbaru pula apabila mereka menerima tajaan bernilai RM12 juta untuk perkahwinan mereka. Saya sedikit pun tidak kisah dengan tajaan itu. Kalau dah ada orang nak taja, buat apa hendak ditolak. Paling tidak, bolehlah juga jimat duit.

Tapi cabaran yang paling hebat bagi seseorang yang menerima tajaan untuk majlis bahagia mereka ialah bagaimana hendak mempertahankan rumah tangga. Itu perkara penting.

Malah kalau diberi RM1 bilion pun, ia tetap juga tidak bermakna jika sesebuah perkahwinan gagal untuk dipertahankan.

Nilai sebuah kebahagiaan bukan boleh diukur dengan wang ringgit tetapi bagaimana pasangan suami isteri itu mampu menjadi contoh yang baik untuk anak cucu, cicit mereka.

Perkahwinan Norman dan Memey akan bernilai lebih daripada RM12 juta jika mereka dapat mengharungi ujian dalam rumah tangga dengan baik sehingga ke akhir hayat. Itulah yang perlu Norman dan Memey buktikan dan bukannya tenggelam dengan kehebatan dek tajaan bernilai RM12 juta.

Saya mendoakan agar Norman dan Memey bahagia buat selama-lamanya. Saya mahu lihat mereka menjadi suami isteri contoh selepas melalui macam-macam pahit maung kerana pengalaman yang sudah mereka tempuhi itu.

No comments:

Post a Comment