Thursday, August 25, 2011

Bahagia berganda Marion Counter


KOLAM hati wanita cantik yang duduk di hadapan saya dalam pertemuan kami di unit emper Hotel Hilton Kuala Lumpur yang serba mewah itu sedang digenangi bahagia yang melimpah ruah. Petah bicara yang bersulam dengan senyum semanis madunya tidak dapat menyembunyikan getar teruja yang tersimpul kemas di dalam jiwa.

Marion Rose Counter Abdullah kini sedang meniti titian menjadi seorang wanita yang lengkap, secara harafiah. Dia kini sedang hamil anak sulung yang bercambah benih usianya lima bulan.

Bahagia Marion memang tidak dapat ditahan-tahan. Baginya yang mengetahui dia hamil sekitar Mac lalu, berita tersebut adalah sebuah rahmat terbesar buatnya dan suami.

Ini kerana akui wanita berketurunan Cina yang kini fasih berbahasa Melayu, sejak bernikah pada bulan Disember tahun lalu, baik dia mahupun suaminya, Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasaruddin atau mesra dipanggil Nasa memang sudah bersedia untuk menimang cahaya mata.

Tiada istilah fasa bulan madu untuk mereka kerana cinta selama lima tahun yang dipupuk bersama sudah menjadi kembara asmara buat mereka berdua. Kini, dalam fasa berumah tangga, mereka tidak mahu menunggu lama untuk membesarkan empayar Nasa-Marion, sementelah usia juga bukan semakin muda.

Memberitahu dia mengalami alahan yang teruk pada fasa pertama kehamilan, ia tidak langsung membunuh keterujaannya hamil buat kali pertama. Walau mengaku pada awal kehamilan dia sedikit terganggu kerana langsung tidak boleh menyentuh makanan atau minuman, namun dia mahu melalui kembara sembilan bulan hamil dengan penuh aprisiasi.

“Saya membuat empat kali ujian kehamilan untuk memastikan saya tidak silap. Waktu itu saya di Singapura, baru selesai rutin mengacara di E! News Asia,” ujarnya bersulam ketawa.

Sebaik yakin dirinya hamil, dia segera menelefon suami untuk berkongsi cerita gembira tersebut dan ia hanya disambut Nasa dengan nada biasa kerana mahu menyembunyikan kegembiraan itu daripada saudara yang ada bersamanya ketika itu.

“Tapi sebaik Nasa bersendirian, dia telefon saya semula dan kami meraikannya dengan cara kami. Ini kerana kami memang sudah bersedia untuk menjadi ibu dan bapa,” katanya yang sudah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk menjadi seorang ibu kelak.

Tambah Marion, sejujurnya, dia dan Nasa memilih untuk merahsiakan kehamilannya daripada pengetahuan ramai. Pada pemikiran mereka, kehamilannya adalah hal yang sangat peribadi, justeru mereka mahu ia menjadi satu rahsia buat mereka sahaja.

Namun akhirnya ia tidak dapat disembunyikan dan kata Marion: “Memang pada awal kami mahu ia menjadi rahsia. Tapi sebagai selebriti saya tidak boleh berbohong tentang kehamilan ini. Lagi pula ia adalah berita gembira dan saya sangat berterima kasih kepada semua yang mendoakan kehamilan saya.”

Belum membuat sebarang persiapan atau memilih nama untuk anaknya, kata Marion, apa yang penting buat masa ini adalah dia menjaga kandungan dan kesihatan dengan baik agar kelak mampu melahirkan dan memperoleh seorang cahaya mata yang sempurna.

Lebih membahagiakan, sepanjang hamil, suaminya yang memang kerap bekerja ke luar negara sudah mula mengurangkan aktiviti tersebut dan memberi fokus terhadap dirinya. Itu, kata Marion adalah hal yang paling membahagiakan dirinya kerana mengaku sebagai wanita hamil, dia turut mengalami simptom emosi yang kadangkala tidak stabil dan memerlukan lebih perhatian daripada suaminya.

Memberitahu dia kini cukup berselera makan terutama masakan lokal, Marion yang ditanya tentang pemikiran segelintir wanita yang tidak mahu mempunyai anak kerana bimbang bentuk badan yang cantik bertukar rupa melahirkan persepsinya dengan cukup matang.

Katanya yang mahu bersalin secara normal kerana ingin merasai nikmat melahirkan anak: “Bayi adalah hal yang paling penting berbanding tubuh badan. Ini rezeki Allah dan saya tidak pernah berfikir untuk tidak mahu mempunyai anak kerana terlalu sayangkan tubuh badan. Bagi saya, jika kita disiplin, kita akan boleh mendapat tubuh badan yang asal, tetapi anak, ia adalah satu anugerah yang tidak ternilai daripada Allah. Jadi saya memilih anak berbanding tubuh badan.

Malah dia yakin dia mampu menurunkan berat badan kepada asal selepas bersalin dengan bantuan ibu dan ibu mertuanya.

“Mak mertua saya seorang yang mementingkan adat resam tradisional, tetapi apabila tiba soal penjagaan selepas bersalin, dia agak moden dan tidak mempunyai pantang dalam pemakanan. Saya juga boleh aktif seperti biasa dan perlu disiplin.

“Mak saya juga seorang yang moden, namun dia ada satu kunci penjagaan selepas bersalin iaitu menyarankan saya agar memakan banyak ginseng dan melakukan urut tradisional,” katanya yang cukup bahagia kerana diberi perhatian khusus bukan sahaja daripada suami, seluruh orang di sekelilingnya.

Bahagia

Diajak bercerita tentang kehidupannya selepas berumah tangga, Marion menterjemahkan ia sebagai cukup bahagia. “Pada awal perkahwinan memang sedikit kekok kerana dulu sudah terbiasa seorang diri, namun kini berdua. Namun semakin hari, ia menjadi menarik kerana banyak hal dapat dikongsi bersama.”

Tambah anak kelahiran Pulau Pinang ini lagi, yang menambah keterujaannya hidup bersama Nasa adalah suaminya itu menerima dia seadanya. Bersama suami tercinta juga, dia belajar mendalami keindahan Islam yang baru menjadi agamanya kurang setahun lalu.

“Paling teruja, tahun ini juga merupakan tahun pertama saya meraikan hari kemenangan, Aidilfitri sebagai saudara baru. Perasaan itu sukar digambarkan, dan paling saya nantikan adalah ritual berkumpul dengan seluruh keluarga pada pagi hari raya.

“Bagaimanapun untuk tahun ini, mungkin adik-beradik suami saya ramai yang tidak ada pada hari raya pertama kerana beraya di rumah mertua masing-masing.

“Namun pada hari raya kedua nanti, kami semua akan pulang ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk menziarah kubur arwah bapa mertua saya dan bertemu saudara-mara di sana,” katanya yang sedang memikirkan untuk bercuti ke sebuah destinasi bersama suaminya memandangkan dia akan bercuti raya selama seminggu.

No comments:

Post a Comment