Thursday, August 4, 2011

Neelofa, Sakinah hos Paparazzi


MUNGKIN ramai lagi yang tidak ketahui kewujudan program Paparazzi di bawah penerbitan KRU TV yang mana program tersebut menyampaikan berita hiburan panas dan pantas serta informasi menarik terkini tentang artis-artis Malaysia dan Indonesia.

Buat masa ini, Paparazzi hanya bersiaran secara ekslusif menerusi tonton.com.my secara online.

Walaupun telah lama bersiaran di tonton.com.my, namun Paparazzi baru sahaja menggunakan konsep baharu dengan mewujudkan hos sebagai pengantara berita-berita panas yang mana sebelum ini berita tersebut hanya dipaparkan melalui visual yang telah dicari oleh wartawan di bawah KRU TV.

Neelofa, Aina Suzaily Zailanny dan adik kepada pelakon Sharifah Shahira dan Sharifah Haslinda iaitu Sharifah Sakinah bersilih ganti bergandingan bersama menjadi hos program itu. Bagaimanapun pada sidang akhbar tempoh hari, Aina tidak dapat hadir.

Menyentuh tentang karier sebagai hos, menurut Neelofa, ia sememangnya merupakan minatnya sebelum bergelar seorang artis lagi.

Katanya, bidang lakonan yang diceburinya adalah dengan matlamat supaya ia boleh dijadikan batu loncatan buat dirinya untuk peluang menjadi hos.

"Saya mendapat kontrak menjadi hos Paparazzi selama setahun. Saya gembira dapat menjadi hos dan harap dapat meluaskan lagi bakat di dalam bidang ini. Setakat ini, program ini hanya ditayangkan di tonton.com.my dan selepas ini insya-Allah akan bersiaran di kaca televisyen pula," bicaranya lagi.

Sementara bagi Sharifah Sakinah pula, yang lebih mesra disapa Sakinah, menghafal skrip merupakan cabaran baginya memandangkan ia pertama kali pengalaman dirinya terjun ke dalam bidang pengacaraan.

"Saya memang minat bidang pengacaraan dan lakonan dan ini merupakan kali pertama saya ke bidang pengacaraan. Saya rasa gembira kerana hos bersama saya iaitu Neelofa dan Aina menyokong dan juga banyak membantu saya.

"Kalau boleh saya mahu menerima tawaran pengacaraan dengan lebih banyak lagi untuk menimba pengalaman begitu juga dengan bidang lakonan. Cabaran bagi saya adalah untuk menghafal skrip, namun nasib juga kerana ini program rakaman. Jadi, pilihan syot boleh dibuat untuk memberikan yang terbaik bagi program ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment