MELAKAR nama sebagai juara termuda pertandingan nyanyian Bintang RTM, Nur Ernie Shahirah Zakri, hanya berusia 17 tahun ketika itu.
Itu kisah dua tahun lalu, kini anak kelahiran Kuala Lumpur itu sudah menjalani kehidupan sebagai seorang penyanyi syarikat rakaman. Sedang mempromosikan album sulungnya, Sinaran yang dilancarkan sejak Jun lalu, Erni, 19, bagaimanapun sedar, karier nyanyian yang dipilihnya belum benar-benar semarak wangiannya.
"Dari segi populariti, saya kurang mendapat publisiti seperti pendatang baru yang lain, mungkin terlalu ramai penyanyi baharu. Ketika itu saya masih belajar dan berdepan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, kemudian perlu menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
"Siapa yang tidak mahu dikenali ramai, tapi setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Saya masih boleh selesa dan fokus kepada pelajaran di samping promosi album serta single kedua saya, Rindu Bukan Teman," katanya yang sedang mengikuti kursus Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
Anak saudara kepada penghibur terkenal, Ziana Zain dan Anuar Zain ini juga yakin peluang sentiasa terbuka buatnya.
"Saya kagum dengan Alyah. Kalau hendak diikutkan, dia terpaksa berdepan jalan perit untuk popular. Dia ambil tempoh 10 tahun selepas menang dalam Bintang HMI sebelum benar-benar diterima umum," katanya.
No comments:
Post a Comment