Wednesday, May 11, 2011

Ratnah nafi bikin skandal


TIRAI program realiti Mentor musim kelima belum pun melabuhkan tirai, namun telah timbul pelbagai warta kurang enak membabitkan salah seorang pesertanya.

Kisah mengenai umur sebenar protege kepada Afdlin Shauki, Ratnah Awal baharu sahaja reda tetapi kini Ratnah kembali dihujani kontroversi yang telah mencalarkan imejnya sebagai pendatang baharu.

Ratnah mungkin terselamat daripada Konsert Penyingkiran Kumpulan A minggu lalu, namun dia tidak dapat mengelak daripada terus diburu cerita-cerita negatif membabitkan dirinya yang boleh dikategorikan sebagai skandal.

Antaranya dia dikatakan menipu tentang fakta peribadinya termasuk tentang negeri asalnya, kontroversi membuat tatu di badannya dan yang paling ‘panas’, dia dikatakan rapat dengan mentornya, Afdlin Shauki dan aktor kacak, Hans Isaac selain dikatakan sedang bercinta dengan kekasih seorang penyanyi wanita terkenal.

Bagi menjernihkan keadaan, Ratnah menjelaskan segala kemusykilan yang timbul kepada Kosmo! ketika Konsert Penyingkiran Kumpulan B berlangsung baru-baru ini.

Benarkah Ratnah berasal dari Ampang, Selangor?

RATNAH: Sebenarnya saya berasal dari Kota Kinabalu, Sabah. Mungkin berlaku salah faham kerana saya menyebut saya menetap di Ampang.

Berapa lama Ratnah mendirikan rumah tangga sebelum bercerai dan adakah Ratnah mempunyai anak dengan bekas suami?

Saya berkahwin pada tahun 2003 dan bercerai tahun lalu. Kami tidak dikurniakan anak.

Namun, ada khabar mengatakan Ratnah pernah mengandung sebelum ini?

Memang saya pernah mengandung tapi saya mengalami keguguran. Saya tidak pernah menceritakan hal tersebut kerana ia merupakan pengalaman pahit buat saya.

Benarkah Ratnah kini sedang menjalin hubungan dengan kekasih kepada seorang penyanyi wanita terkenal tanah air?

Saya baru sahaja dengar tentang perkara ini dan ingin saya jelaskan di sini saya tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan lelaki tersebut. Lelaki tersebut merupakan salah seorang tenaga produksi Mentor dan memang tanggungjawab dia menguruskan kesemua peserta Mentor.

Ada sumber memberitahu Ratnah dimasukkan ke hospital baru-baru ini bukan kerana penyakit bronkitis tetapi kesan akibat menjalani rawatan laser bagi membuang tatu di badan.

Saya memang dimasukkan ke hospital kerana bronkitis. Memang saya ada menjalani rawatan laser tapi bukan atas tujuan membuang tatu.

Jadi benarlah Ratnah tidak mempunyai sebarang tatu?

Tidak ada! Saya pun tak tahu macam mana cerita ini boleh timbul sedangkan saya memang tidak pernah membuat tatu di badan.

Memandangkan Ratnah telah mengenali Afdlin sebelum program Mentor lagi, adakah Ratnah telah dipilih sejak awal-awal lagi dan hanya datang ke uji bakat bagi memenuhi syarat?

Benar, saya kenal Afdlin sejak saya menyertai produksi teater Cuci The Musical lagi tetapi itu tidak bermakna saya mempunyai keistimewaan untuk dipilih sebagai protegenya secara automatik. Afdlin hanya menggalakkan saya untuk mencuba dan rezeki memihak kepada saya.

Bagaimana pula hubungan Ratnah dengan Hans Isaac? Khabarnya dahulu, Ratnah pernah rapat dengan Hans?

Memang saya rapat dengan Hans tapi bukan saya seorang sahaja. Semua yang terlibat dengan produksi Cuci The Musical seperti satu keluarga dan saya melihat Hans sebagai seorang abang sahaja.

Betul ke Ratnah berlagak Diva di belakang pentas sebelum konsert mingguan Mentor dimulakan dengan meminta air minuman Evian dan buah-buahan, sedangkan peserta lain tidak berbuat demikian?

Mana ada. Saya tidak pernah membuat permintaan sedemikian. Saya belum lagi menjadi artis, mana mungkin saya berani minta macam-macam.

No comments:

Post a Comment