Wednesday, May 11, 2011

Ibu tunggal anak satu


SALMA yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini memang masih ‘keras’ di hadapan kamera. Malah, tutur katanya juga masih tersekat-sekat menandakan yang dia masih tidak yakin untuk berhadapan dengan pihak media.

Masih banyak ilmu yang perlu dikutip daripada mentornya, aktres terbilang tanah air, Erra Fazira yang terlebih duhulu ‘makan garam’ dalam dunia seni.

Sungguhpun begitu, Salma seorang yang cepat ramah, memudahkan lagi perjalanan sesi fotografi yang berlangsung pada lewat petang itu.

Seakan-akan mengerti soalan utama yang ingin diajukan kepadanya, Salma hanya melempar senyuman. Ternyata, segala aktiviti seorang selebriti masih terlalu baharu buatnya.

Saat namanya sedang meniti di bibir peminat program Mentor musim kelima dan diangkat sebagai salah seorang protégé yang berbakat besar, tiba-tiba sahaja status dirinya menjadi hangat. Bergelar janda pada usia 21 tahun bukanlah impian Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis.

Bagaimanapun status diri tidak mahu dijadikan halangan untuknya mengejar impian bergelar seorang penyanyi sekali gus mengubah nasib keluarganya di Kampung Titingan, Tawau, Sabah. Salma tidak mengelak, sebaliknya dia lebih senang menceritakan semua hal sebenar yang selama ini disimpan rapi.

“Ya, saya pernah berkahwin selama setahun lebih dan bercerai pada tahun 2008. Itu sahaja yang saya mampu jawab buat masa ini,” jawabnya.

Tegasnya, dia tidak pernah berniat untuk menyembunyikan status diri daripada orang ramai kerana sedar lambat-laun orang akan tahu juga berita itu.

“Sejak awal lagi, saya mahu orang tahu tentang perkara ini tetapi biarlah secara perlahan-lahan, memang tiada niat nak sembunyikan status diri. Saya sedar lambat-laun orang akan tahu juga akhirnya, sebab itu saya rasa lega bila orang tahu mengenainya sekarang.

“Jika saya simpan lama-lama, nanti daripada orang menyokong saya dan meminati saya terus orang tidak suka kerana merasakan yang diri mereka tertipu. Jadi, lebih baik saya cakap yang benar sekarang ini,” tuturnya lagi.

Hasil daripada perkahwinan itu, Salma dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berada di dalam jagaan keluarganya di Tawau. Apabila disoal lebih lanjut mengenai anak dan kisah rumah tangganya, Salma enggan menjawabnya kerana baginya cerita peribadi tidak penting untuk kerjayanya.

“Saya sudah lama bercerai, jadi saya tidak mahu perbesarkan hal ini. Kini, fokus saya hanya pada Mentor, sebaik sahaja habis Mentor, saya berjanji akan menjawab semua soalan tetapi bukan sekarang,” ungkapnya.

Meskipun belum bergelar seorang penyanyi secara rasmi, Salma telah diuji terlebih dahulu dengan asam garam dunia hiburan. Katanya, dia menganggap segala yang terjadi sebagai cabaran buatnya untuk menuju kejayaan.

“Saya tidak kisah orang mahu cakap apa mengenai diri saya, memang benar saya pernah berkahwin, bercerai dan mempunyai anak dalam usia yang muda.

“Itu sudah sejarah diri saya, kenapa saya mahu lari? Saya harus kuatkan diri untuk anak dan keluarga saya di kampung,” ujar anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu lagi.

Sambung belajar

Impian Salma untuk menjadi penyanyi bukannya kerana dia mahukan glamor tetapi niatnya hanya satu iaitu untuk mengubah nasib dan tangga ekonomi keluarganya.

Disebabkan oleh desakan ekonomi keluarga, Salma hanya sempat bersekolah setakat tingkatan empat dan tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bukan tidak berminat untuk meneruskan pelajaran tetapi hatinya tidak sanggup melihat ibunya menangis saban hari kerana gagal menyediakan kelengkapan persekolahannya.

“Keluarga saya susah, saya pergi sekolah tanpa wang saku. Berlapar itu perkara biasa, tetapi bila lihat ibu menangis, saya bernekad untuk mencari kerja. Balik dari sekolah dengan pakaian seragam sekolah saya pergi cari kerja tetapi malangnya tidak dapat sebarang kerja kerana masih bersekolah..

“Esoknya, saya pergi cari kerja lagi dengan pakaian biasa dan saya dapat kerja kerana saya tipu yang saya sudah tidak bersekolah.

“Pulang ke rumah saya beritahu ibu, saya cakap buat apa saya sekolah kalau keluarga tidak cukup makan. Sejak itu bermacam-macam pekerjaan saya buat, kerja kilang, jurujual kedai dan terakhir menjadi kerani,” luahnya lagi.

Sungguhpun banyak pengalaman kerja, dirinya berasa kerdil apabila menjejakkan kaki di Kuala Lumpur.

Katanya, rata-rata orang di Kuala Lumpur boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik sedangkan dia masih sukar untuk memahami patah ayat jika ditutur dalam bahasa Inggeris.

“Saya jadi malu dan rasa diri ini kecil sangat sebab semua orang di sekeliling saya faham dan boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Sebab itu, habis sahaja Mentor, saya mahu masuk ke kelas bahasa Inggeris,” ujarnya yang berniat untuk menyambung pelajaran di mana-mana kolej swasta selepas program Mentor tamat.

Bercerita lanjut mengenai program Mentor, Salma memberitahu, dia menyertai Mentor secara kebetulan kerana pada hari yang sama dia sedang menjalani uji bakat untuk sebuah pertandingan nyanyian di Kota Kinabalu.

Lokasi uji bakat yang berlangsung dalam satu bangunan, menyebabkan Salma sekadar mencuba nasib.

“Saya tidak pernah sertai mana-mana program realiti, sebenarnya untuk ke Kota Kinabalu dari Tawau sangat jauh kerana mengambil masa selama 10 jam dengan menaiki bas.

Tujuan utama saya waktu itu untuk uji bakat pertandingan nyanyian di Kota Kinabalu, kebetulan pula mereka buat uji bakat Mentor pada hari yang sama, jadi saya cuba sahaja.

“Tidak sangka, dalam ramai-ramai, saya terpilih. Ketika mengisi borang memang saya pilih Erra Fazira untuk jadi mentor saya kerana saya minat sangat dengan dia.

“Sekarang, bila dapat bekerjasama dengan dia, saya rasa macam mimpi pula,” jawabnya sambil tersenyum.

Sebelum ini, isu Salma tidak yakin diri dengan kecantikan sendiri, diperdebatkan dalam Mentor.

Menurutnya lagi, tuan empunya diri, dia bukannya tidak bersyukur dengan apa yang dimiliki, tetapi isu itu timbul selepas (hos belakang tabir Mentor) Abang Nas Ahmad membangkitkannya.

“Saya tidak rasa kecewa tetapi rasa sedih sedikit. Saya terima dengan apa yang saya ada, jika dulu saya tidak pandai menggunakan alat solek, tetapi sejak masuk Mentor saya sudah boleh bersolek sendiri dan Kak Erra pun banyak mengajar saya tip-tip untuk mencantikkan diri,” ujarnya.

Ucapnya lagi, dia berharap Mentor menjadi medan untuknya merealisasikan impian bergelar seorang penyanyi. Tidak kiralah bergelar juara atau tidak, dia mahu hayatnya di dalam industri seni tidak mati sebaik sahaja program realiti itu tamat.

No comments:

Post a Comment