Wednesday, May 11, 2011

Putri Mardiana Bertunang Hujung Tahun


PETALING JAYA: Pelakon Putri Mardiana Zainal Abidin, 29, atau Nina mengesahkan untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Mohd Hasnul Amril (Anol), 29, pada bulan Disember depan.

Kata Nina, perancangan untuk ke arah itu sudah lama dirancang namun perkara tersebut terpaksa ditangguhkan ekoran beberapa urusan peribadi yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Sebenarnya, abang kandung saya pun sudah bertanya tentang hubungan kami. Alhamdulillah, hubungan ini mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

"Kalau diikutkan, pada bulan April lalu kami ingin bertunang tetapi terpaksa ditangguhkan dulu," katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem Kongsi, di sini, malam Selasa.

Bercerita tentang perkembangan isu hak penjagaan anak-anaknya dengan bekas suaminya Shahnaz Norwawi, wanita itu berkata masalah itu masih lagi belum selesai sementara anak-anaknya tinggal di rumah bekas mertua dan bersekolah di Bentong, Pahang.

"Agak leceh untuk urusan pertukaran sekolah dan sebagainya. Tidak mengapalah, buat masa ini yang penting anak-anak selamat dan gembira.

"Sekali-sekala, saya akan berjumpa dan menghabiskan masa dengan mereka juga," kata ibu kepada Alia Wirdani, 7, Amir Firman, 5 dan Airell Zuhair, 4 ini.

Mengenai perkembangannya dalam dunia lakonan, Nina akan muncul dengan filem terbaru iaitu Kongsi sebagai Inspektor Yati.

Beritahu Nina, dia sangat teruja membintangi filem komedi aksi arahan Farid Kamil itu kerana berpeluang untuk melakukan babak-babak lasak dan pertarungan.

"Ini adalah kali pertama saya terlibat dalam filem aksi lasak. Ia satu pengalaman yang menyeronokkan kerana saya membawa dua watak iaitu pegawai polis yang menyamar sebagai pembantu rumah.

"Pihak produksi memilih saya kerana kesesuaian air muka saya yang serius selain saya dilihat agak tegas," jelas aktres yang kian sibuk dengan perniagaan pakaian “bundle” ini.

Filem Kongsi yang mula ditayangkan hari ini mencatatkan sejarah tersendiri dalam perfileman tanah air dengan pembukaan terbesar iaitu 100 salinan filem di seluruh pawagam di Malaysia.

No comments:

Post a Comment