Monday, May 2, 2011

Isma (AF7) Alami Keguguran Anak Keenam


PETALING JAYA: Suami penyanyi Isma AF7 iaitu Zul (2By2) tidak menolak bahawa tekanan dan kesibukan mengendalikan produksi Nusanbakti Corporation Sdn Bhd antara faktor penyebab isterinya mengalami keguguran bayi keenam mereka, Sabtu lalu.

Tambahnya, sejak memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan di syarikat tersebut dan pengarah filem Sofazr The Movie, Isma atau nama sebenar Ismaliza Ismail ini terlalu banyak menghabiskan masa dengan kerjayanya.

"Pada hari Sabtu lalu, ada berlaku pendarahan dan selepas kami buat pemeriksaan, doktor dapati janin yang berusia tiga minggu itu sudah tidak bernyawa lagi.

"Mungkin juga kerana sejak akhir-akhir ini, dia terlalu azktif bergerak sebab ketika dapat tahu dia hamil, dia sedang sibuk mengarah filem Sofazr The Movie," katanya kepada mStar Online.

Tambah Zul, buat masa ini, Isma masih lagi dalam keadaan terkejut dan lemah akibat kejadian tersebut.

"Dia masih terkejut dan sudah tentu sedih. Ini kali pertama dia mengalami keguguran dan kami menganggap ia bukan rezeki kami," ujarnya yang kini mempunyai lima cahaya mata.

Dalam pada itu, ketika ditanya hubungan pasangan tersebut dengan Pengarah Urusan Heliza Helmi Production (HHP), Heliza Helmi yang dikatakan sedang bermasam muka, Zul memberitahu mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan penyanyi tersebut.

"Saya keluar HHP lebih awal daripada Isma iaitu lebih kurang setahun lalu kerana dapat kerja yang lebih menjamin masa depan. Manakala Isma pula sudah lapan bulan keluar dari syarikat tersebut dan mengambil alih syarikat Nusanbakti.

"Kami keluar dengan rela hati dan bukan kerana sebarang salah faham. Hubungan kami dengan Heliza juga masih baik dan kami masih bertegur sapa," katanya.

Zul turut menganggap mereka tidak mempunyai jodoh yang panjang di syarikat tersebut dan mahu beralih angin di tempat yang baru.

No comments:

Post a Comment