Monday, May 2, 2011

Petua Moden & Tradisional Ayu Raudhah


LEBIH empat bulan bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, pelakon Ayu Raudhah masih menantikan kehadiran cahaya mata.

Setakat ini, Ayu belum menunjukkan tanda-tanda kehamilan. Biarpun begitu, pasangan itu berserah kepada rezeki Tuhan dan menerima bila-bila masa sahaja untuk dikurniakan anak.

Sesibuk mana dengan rumah tangga yang baru dibina itu, ia tidak menjadi halangan untuk wanita ini meneruskan kerjayanya dalam bidang lakonan. Namun, Ayu perlu lebih selektif memilih watak yang sesuai.

Selepas berkahwin, wajah Ayu jarang dilihat muncul di media cetak mahupun elektronik. Jika ada yang perasan, telefilem terbaru lakonan Ayu berjudul Pabila Syaitan Berbisik baru disiarkan di TV1 pada 22 April lalu.

Ayu yang selama ini cukup dikenali dengan watak gadis lemah-lembut dalam lakonannya bertukar kepada sisi jahat apabila membawa watak gadis kampung yang lupa daratan dan sanggup menghancurkan rumah tangga orang lain demi mengejar kemewahan hidup.

Bagi mengubat rindu peminat Ayu, OopStarz! minggu ini mahu berkongsi tentang rahsia kejelitaannya.

Dalam menjaga penampilan, dia paling gemar menyerlahkan kecantikan mata. Boleh dikatakan Ayu memiliki mata yang mampu menjadi aset berharga pada dirinya dan mudah mencairkan hati sesiapa sahaja yang memandang.

“Saya suka memakai maskara untuk melentikkan bulu mata. Jika memakai maskara, saya tidak perlu menggunakan bulu mata palsu. “Jadi, saya jarang membeli bulu mata palsu. Kalau membeli pun, saya memilih yang tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek.

“Biasanya saya akan membeli maskara dengan jumlah yang banyak. Maskara yang paling saya suka adalah jenis Maybelline Volume Express Mascara Curved Brush,” ujar pelakon drama popular Nur Kasih dan Manjalara ini.

Pada hari tidak bekerja, Ayu jarang mengenakan mekap tebal tetapi wajahnya tetap tidak dapat lari dari menggunakan maskara.

“Boleh dikatakan setiap hari saya perlu bersolek tetapi apabila berada di rumah, saya jarang memakai mekap. Jika keluar tanpa urusan kerja, saya tidak banyak memakai mekap dan yang penting mesti meletak maskara pada mata,” ujarnya lagi.

Sapu ais pada muka Seperti wanita lain, Ayu tidak putus menjalani rutin kecantikan seperti biasa iaitu mencuci muka, menggunakan penyegar dan pelembap muka.

“Saya perlu membersihkan dan menjaga muka dengan kerap kerana sentiasa menggunakan mekap setiap hari terutama sewaktu menjalani penggambaran.

“Saya tidak banyak mengamalkan petua tradisional. Antara petua yang diamalkan setiap kali sebelum tidur, saya akan menyapu ais pada muka untuk merawat kulit bermasalah.

“Alhamdulillah, nasib baik kulit saya tidak mudah ditumbuhi jerawat walaupun kadangkala rasa stres,” katanya.

Selain itu, dia juga menerima rawatan kulit muka di pusat kecantikan AsterSpring selama setahun di samping mendapat bekalan percuma produk penjagaan kulit Dermalogica dan kosmetik Averine.

Ayu terpilih antara artis yang mengikuti pakej rawatan muka dan badan ‘Beautiful Bride’ oleh AsterSpring pada November tahun lalu. Selain Ayu, pelakon Raja Farah juga menerima rawatan yang sama.

Guna daun bunga raya

Daripada penjagaan muka, topik perbualan beralih kepada penjagaan rambut yang dianggap sebagai mahkota berharga kepada setiap wanita. Agak menarik juga apabila Ayu menggunakan daun bunga raya untuk melembutkan rambut.

“Ambil 10 helai daun bunga raya dan tumbuk sehingga halus. Kemudian, sapukan pada rambut hingga ke akarnya. Balutkan rambut dengan “shower cap” selama 30 minit. “Akhir sekali, cuci dengan air bersih. Amalkan dua kali seminggu. Insya-Allah rambut menjadi lebih lembut dan bersinar,” ujarnya.

Menyentuh tentang pemakanan, Ayu kurang mengambil nasi dan sangat mengawal makan. Disebabkan berat badannya mudah naik jika tidak dijaga, Ayu perlu mengambil jumlah makanan pada kadar sedikit.

“Selain mengawal pemakanan, saya turut mengamalkan minuman kesihatan iaitu sirap Shaklee,” katanya.

Untuk mengekalkan bentuk badan menarik, Ayu turut melakukan senaman bangkit tubi sebanyak 50 kali sebelum tidur.

No comments:

Post a Comment