JIKA dihitung-hitung, jasad wanita muda ini baru mengharungi kehidupan untuk dua dekad. Baru sahaja menggali itu dan ini untuk kutipan pengalamannya. Namun apabila ditelek-telek, semangat dan kecintaannya sudah melangkaui angka tersebut. Dia yang berusia 25 tahun ini seperti hidup terkebelakang apabila melihat pengaruh dan rujukan muzik serta fesyennya.
Atas nama vintaj dan soul, Najwa atau nama sebenarnya Najwa Mahiaddin membawakan hembusan nafas itu dalam jiwa dan raganya.
Tidak berhenti di situ, dia melayangkan rasa itu buat marhaenis. Dengan genre yang kurang mesra di telinga khalayak Malaysia, dia memperkenalkan genre soul untuk menjadi santapan ramai.
Hasilnya album perdana atas tajuk Innocent Soul sudah masuk tiga kali cetakan untuk penjualan. Najwa tersenyum menerima fakta meriah ini. Di Studio Utusan pada Isnin lalu, dia yang baru pulang dari Amerika Syarikat (AS) berkongsi cerita suka dan duka.
Bercerita
“Sebetulnya saya memang tidak pernah terfikir sasaran penjualan. Sokongan ramai ini adalah luar jangkaan saya,” kata penyanyi ini.
Membelek-belek album perdana ini, lirik-liriknya senang dicerna. Najwa seakan-akan bercerita dan berkongsi tentang suasana.
“Sudah lama saya memikirkan untuk melahirkan album. Cuma masa yang belum sesuai. Saya fokus kepada pelajaran kerana takut tidak terkejar (akademik dan nyanyian).
“Tapi kemudian saya membuat perancangan. Awal Mac lalu saya ke Jakarta, Indonesia untuk proses rakaman dan akhirnya pada bulan Disember, album saya siap,” syukurnya setelah album Innocent Soul dilancarkan Mac lalu.
Menyentuh hal lirik dan pemprosesan kreatifnya, Najwa senang bercerita.
“Semuanya sudah saya tulis sejak usia 17 tahun dan saya simpan. Kebanyakannya adalah pengalaman kawan.
“Sewaktu saya di Melbourne, saya jatuh sakit kerana rindukan kampung halaman, itu juga sumber inspirasi,” ujarnya yang lebih lancar menulis sewaktu emosi sedang mendung berbanding waktu gembira.
Lalu penulis tanyakan emosinya tatkala melakarkan lirik demi lirik dalam album perdananya. Najwa tersenyum, mungkin menebak penulis masuk ke ‘dunia’ cintanya.
Ketawa dan menjawab bahawa dia meletakkan emosi yang dalam di dalam album ini.
Dalam ketawa lagi, dia mengaku bahawa dirinya seorang yang ‘hopelessly romantic’ lalu dia menukar cerita bahawa dia memang mahu bercerita melalui albumnya. Meletakkan relativiti dan sesuatu yang boleh dihubung kait sebagai inti pati album ini.
“Sentiasa ada lagu untuk satu-satu kejadian dan perkara. Membuatkan kehidupan dan pengalaman seseorang sempurna,” ujarnya yang muncul dengan single pertama berjudul Got To Go dan klipnya diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar.
Ujar Najwa, sejak kecil lagi dia sudah terdedah dengan perkara yang melibatkan seni. Melukis dan menolong ayahnya mengecat, itu antara pelajaran tidak formal awal yang dipelajarinya.
Bermula daripada itu, kehidupannya sering bergelumang dengan seni malah mengalir tanpa dipaksa-paksa.
Daripada hanya bergerak melalui naluri dan jiwa dia melanjutkan pelajaran ke Boston, AS, menjadi anak rantau dan pelajar di Kolej Berklee untuk sebuah pencarian. Kini dia mendalami ilmu yang berdasarkan cintanya.
Teknikal
Penulis tanyakan perbezaan antara dulu dan kini. Antara menyanyi dengan naluri dan kini mendasari teknikal demi teknikal.
“Sesetengah orang dilahirkan dengan bakat. Saya memasuki kolej untuk mendalami bakat saya. Kini setelah mempelajari banyak perkara, saya semakin tahu bagaimana mahu meletakkan suara dan nota.
“Juga menjadi semakin berjaga-jaga meletakkan suara saya dalam nyanyian.
“Saya mahu tahu dengan lebih mendalam. Malah, saya mengambil subjek elektif tentang penulisan skor dan penyusunan lagu. Mana tahu nanti saya boleh menyusun lagu saya sendiri,” ujarnya yang bercita-cita membuka sebuah rumah produksi apabila habis belajar kelak yang berbaki dua tahun lagi.
Menjadi anak rantau, Najwa akui pelbagai perkara yang berlaku di depan mata dan dipelajari sebagai makanan kehidupan. Bertemu dengan individu-individu berbakat besar di kolej yang sama, dia meletakkan motivasi atas semua yang diamatinya.
“Jarang saya temui orang yang merasakan dirinya bagus. Malah, mereka mahu belajar dan terus belajar.
“Kalau lihat mereka di luar pentas, diam sahaja tetapi bila naik ke pentas untuk membuat persembahan dalam kelas, mereka sangat bagus. Ini yang saya pelajari bahawa kita tidak perlu ada sikap negatif.
“Sebaliknya perlu menjaga budi bahasa sebagai manusia. Jangan sesekali berasa bagus,” ujarnya yang ralat kerana terlepas konsert penyanyi pujaannya, Adele, sewaktu di AS.
Satu hal yang masih tersimpan dan tersembunyi di celah balutan jiwa wanita yang gemarkan pakaian vintaj ini, dia mahu keluar dengan album Melayu satu hari nanti.
“Untuk menulis dalam bahasa Melayu agak sukar kerana suku katanya. Tapi saya mahu mencuba. Impian saya ialah untuk melagukan sebuah sajak popular.
“Mahu meletakkan melodi dan irama yang sesuai ke dalamnya seperti yang pernah dilakukan oleh Ella Fitzgerland. Itu impian saya,” senyumnya menyatakan sesuatu yang masih tertunda.
No comments:
Post a Comment