Sunday, May 29, 2011

Dewi sedang bangkit


SENYUMAN dan lirikan matanya kelihatan tulus, bersih dan bebas daripada banyak anasir atau virus yang boleh menenggelamkan semangatnya terhadap nyanyian.

Tanpa perlu diperkenalkan secara lengkap, gadis berusia 22 tahun ini pernah bersimbah publisiti ketika menyertai program realiti Mentor musim pertama di bawah didikan Liza Hanim.

Dewi Liana Seriestha begitu namanya diberi. Di kalangan penyanyi kelahiran program realiti, Dewi mungkin antara pemilik vokal yang mantap, namun nasib belum menyebelahinya. Dia seperti sedikit tersisih daripada publisiti.

“Saya selesa begini, saya tidak terikat dengan mana-mana pihak, bergerak sendiri sahaja. Lagipun saya tidak terburu-buru untuk meraih perhatian kerana masih belajar dalam jurusan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Tak apa tidak glamor dan saya tidak kisah sedikit berada di belakang berbanding penyanyi lain. Saya mahukan kualiti dalam lagu bukannya sekadar lagu pop.

“Tapi sejak dua tahun kebelakangan ini, saya mula serius dengan pengumpulan material untuk album dan single terbaru saya,” katanya yang menggunakan khidmat Sharon Paul untuk buah tangan terbarunya.

Dewi sebenarnya pernah bekerjasama dengan Sharon Paul dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya menerusi lagu Senyuman Kemegahan. Lagu nyanyian Dewi itu berjaya mengungguli Pertandingan Akhir Cipta Lagu Patriotik yang berlangsung di Amfiteater Kompleks Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur, tahun lalu.

“Mungkin sebab itu juga saya terpaut dengan Sharon. Dia komposer pilihan pertama saya. Sekarang saya sedang merakamkan beberapa lagu, termasuklah Senyuman Kemegahan yang pernah dinyanyikan dulu.

“Saya juga sedang mencari melodi dan lirik untuk sebuah lagu berentak rancak, untuk dijadikan single. Begitu juga lagu balada. Itu taruhan saya untuk masuk semula ke industri,” ujar Dewi yang turut terlibat dengan Konsert Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya, semalam.

“Saya diberi kepercayaan sebagai artis pembuka tirai untuk konsert kumpulan terkenal dari Korea, Super Junior.

“Saya peminat mereka dan kepercayaan itu satu penghormatan buat saya,” katanya yang berterima kasih kepada penyanyi Hattan yang banyak mengundangnya sepanjang penganjuran konsert belia di Sarawak, baru-baru ini.

Berbalik kepada karier, Dewi menyimpan hasrat untuk melebarkan sayap ke bidang peragaan dan lakonan. Drama lakonannya termasuklah drama bersiri 13 episod berjudul Kembali, Nilai Cinta dan Diana (13 episod).

No comments:

Post a Comment