NAMA Miera Leyana Kasmi (Miera),18, tiba-tiba sahaja meletup gara-gara kemunculannya berpakaian menjolok dalam satu acara hiburan baru-baru ini. Peristiwa itu menimbulkan persepsi yang kurang senang sesetengah pihak.
Walaupun begitu, Miera mengambil tindakan bijak dengan membuat permohonan maaf serta berharap peminat memberi peluang kepadanya supaya tidak mengulangi kesilapan itu lagi. Miera yang berasal dari Johor Baharu berkata, niat dan tujuannya menceburi dunia lakonan bukan untuk mengejar populariti atau kontroversi seperti yang dilalui anak seni lain.
Sebaliknya, semangat dan minat terhadap bidang ini mendorong dia untuk terjun ke pentas lakonan.
Malah dia menganggap dunia seni tidak menjamin masa depan yang cerah. Justeru, dia bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang jika berpeluang.
Menyentuh tentang kariernya, dia telah berlakon dalam filem Apokalips, drama Luna Fantasiku, Kamelia Katrina dan terbaru, Jamilah, I Love You!.
Bercerita tentang penjagaan kecantikannya, Miera banyak berkongsi petua dengan ibunya. Misalnya, dia gemar makan buah-buahan sejak kecil untuk mengekalkan kulit yang cantik serta melakukan rawatan di pusat kecantikan bersama-sama ibunya.
“Saya dan mama selalu pergi spa dan membuat rawatan muka setiap dua kali sebulan. Kami pergi ke sana untuk menyegarkan badan supaya kembali tenang setelah sibuk dengan kerja di luar.
“Selepas melakukan rawatan, hati menjadi tenang sekali gus dapat mengelakkan daripada muka tumbuh jerawat akibat stres.
“Sejak kecil, mama mengajar saya makan banyak buah-buahan memandangkan saya tidak gemar makan sayur-sayuran dan tidak mengambil suplemen vitamin,” katanya kepada OopStarz!.
Miera mengamalkan makan buah-buahan seperti tembikai susu, oren dan epal. Pada waktu pagi, kebiasaannya dia tidak mengambil sarapan. Jadi, Miera akan menggantikan dengan menikmati buah-buahan dan meminum jus oren.
Selepas makan tengah hari, sekali lagi dia akan mengambil buah-buahan sebagai pencuci mulut dan begitu juga pada waktu petang.
Selain itu, Miera sering ke gimnasium untuk melakukan senaman dan menyihatkan badan.
Memandangkan Miera tidak mengalami masalah kulit sensitif, dia tidak perlu berbelanja besar untuk membeli kosmetik atau produk kecantikan lain.
Lebih-lebih lagi, dia bukanlah seorang yang terlalu obses dengan kecantikan. Namun, bukan bermakna dia tidak mementingkan kecantikan dan penampilan diri.
“Saya tidak mengamalkan petua tradisional seperti makan jamu. Tetapi saya gemar membeli produk kosmetik seperti Shu Uemura, MAC dan Christian Dior,” katanya.
Bagi Miera, kecantikan merangkumi luaran dan dalaman diri seseorang. Bagaimanapun, dia selesa keluar rumah dengan mengenakan mekap tipis dan kadang kala langsung bersih tanpa mekap.
“Saya mula bersolek sejak berusia 13 tahun kerana teringin mencuba mekap setelah melihat mama bersolek.
“Pada mulanya saya rimas mengenakan mekap tetapi lama-kelamaan saya rasa wanita perlukan mekap untuk nampak lebih cantik dan terurus.
“Apabila bersolek, saya suka fokuskan kepada bahagian mata dengan memakai maskara yang agak tebal,” ceritanya lagi.
Trauma lihat cermin
Berkongsi tentang kenangan yang tidak dilupakan apabila dia mengalami kemalangan jalan raya di hadapan rumahnya ketika menaiki motor berkuasa besar ketika berusia 13 tahun.
“Kemalangan itu meninggalkan kesan parut pada pipi kiri dan tengkuk saya. Bagaimanapun, nasib baik parut di muka saya hilang setelah menyapu krim yang disarankan oleh doktor.
“Parut itu juga menyebabkan saya trauma untuk melihat cermin kerana muka saya nampak teruk akibat kecederaan selepas kemalangan itu,” katanya yang turut aktif dalam bidang peragaan.
No comments:
Post a Comment