TANGGAL 19 Mei ini akan menemukan khalayak dengan jalan cerita yang dibikin indah oleh seorang penulis skrip dengan nama Mira Mustaffa. Bukan sehari dua dia menulis tetapi kata-kata tulisannya berjaya menambat hati ribuan peminat.
Tiada kejutan jika khalayak bakal berendam air mata dan memberontak jiwa dek kerana penangan air tangan Mira.
Mira memberikan tragedi demi tragedi untuk tatapan ramai sebagai bahan cerna dalam sebuah filem kesinambungan drama popular Nur Kasih yang mencapai bilangan penonton 19 juta di kaca televisyen.
"Tragedi demi tragedi ini penting dan menjadi kemestian untuk mempamerkan evolusi perjalanan dalam Nur Kasih. Contohnya, Adam yang dahulu, dia seorang pemberontak dan kali ini dia perlu berhadapan dengan dugaan yang lebih besar.
"Tragedi ini juga penting sebagai penggabungan kepada cerita-cerita yang pernah mereka lalui," terang Mira saat ditanya sebab pelbagai tragedi disuapkan ke dalam emosi penonton filem ini.
Mira tersenyum manis dalam persalinan kurung hitamnya ketika ditanya kemunculan item cinta baru zaman moden selepas dia mewujudkan Adam dan Nur Amina yang memberi nafas pasangan cinta buat khalayak.
"Saya tidak ada niat untuk mewujudkan satu item atau pasangan baru zaman moden ketika saya menulis kisah mereka.
"Bagi saya para pelakon menghidupkan watak mereka dengan berjaya.
"Watak ibu Adam iaitu Hajah Khatijah juga adalah tunjang kepada kisah Nur Kasih ini," tegas Mira yang mengaku sukar menulis pengakhiran kisah ini.
"Harus diingat bahawa kisah cinta dalam Nur Kasih baik drama ataupun filem ada tiga penjuru.
"Mereka tidak boleh berdiri tanpa Aidil yang melengkapkan persamaan hubungan mereka," senyum Mira mengakhiri cerita seraya meletakkan tugasan untuk menilai filem tersebut kepada penonton.
No comments:
Post a Comment