Friday, May 6, 2011

Astro Tawarkan Sarimah Deejay Radio


KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim, 33, sedang mempertimbangkan tawaran untuk bergelar penyampai stesen radio Mix FM atau Sinar FM.

Kata Sarimah, pihak pengurusan dua stesen radio di bawah AMP Radio Network itu sebenarnya sudah lama menawarkan peluang itu kepadanya tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran komitmennya sebagai pengacara untuk program Akademi Fantasia musim kelapan dan The Biggest Loser Asia musim pertama.

"Mereka sudah lama menawarkan peluang untuk menjadi penyampai radio tetapi saya belum memberi kata putus sebab ketika itu sedang sibuk dengan tugas sebagai pengacara.

"Saya anggap sekarang adalah waktu terbaik untuk menerima tawaran ini. Buat masa ini saya sedang menunggu kontrak sebelum membuat keputusan sama ada untuk ke Sinar FM atau Mix FM," katanya dalam satu pertemuan bersama mStar Online, Khamis.

Mengulas lanjut, pelakon yang bakal muncul dengan filem Apokalips pada hujung tahun ini berkata: "Saya tidak memilih apa juga slot siaran dan stesen yang dirasakan wajar, saya akan terima dengan hati terbuka.

"Memandangkan saya lebih aktif pada waktu tengah malam, menarik juga kalau berpeluang untuk ke udara pada waktu itu.

"Walau ke stesen mana sekali pun, saya bersedia untuk berkongsi pengalaman dengan pendengar khasnya wanita dan remaja."

Bercerita tentang tugas sebagai pengacara, Sarimah turut berkongsi keinginan untuk mengacarakan semula musim terbaru program The Biggest Loser Asia.

"Jika diberi peluang, memang saya teringin untuk mengacarakan semula program berkenaan.

"Apa juga kekusutan atau masalah yang timbul ketika saya mengacarakan musim pertama program itu sudah saya lupakan dan maafkan," katanya.

No comments:

Post a Comment