Sunday, May 15, 2011

Emosi Remy, Tiz semakin bergelojak


MASIH ada kepanasan yang meruap-ruap terhadapnya. Kepada jiwa-jiwa yang terluka oleh sikapnya, menyebut namanya sahaja seperti menyimbah cuka ke hirisan luka.

Ya, virus kebencian itu bercambah dan bugarnya cepat menjalar. Dalam permintaan nakal dan kolot, barangkali sudah tiba masanya, pemain watak Adam dalam siri dan filem Nur Kasih itu bersiram mandian air bunga.

Biar bersih kelibatnya daripada bayangan hitam yang meruntuhkan pandangan. Itulah Remy Ishak, sang aktor yang baru-baru ini membikin panas pada pandangan segelintir teman media.

Kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rendah dan kalau tiada sebab musababnya, masakan seseorang itu bertindak di luar kawalan.

Pegang pepatah itu, sebagai orang yang di luar situasi, tidak semua perkara mampu dijustifikasi. Jalan tengahnya, baiklah persengketaan itu ditolak ke tepi sebelum onar semakin bernanah.

Cuma, sayang sekali situasi tepat berselindung di balik 'cinta' karakter itu tidak dimanipulasikan oleh pemeran, baik Tiz mahupun Remy. Mungkin, mereka terasa canggung lantaran ada bunga-bunga hati yang mahu dibaja tanpa perlu ada limpahan angin luar yang boleh menebar cerita.

Bagaimanapun, elok dilupakan seketika 'tragedi' di luar kisah Nur Kasih itu, kerana kini nama mereka masih likat dalam ingatan peminat sebagai Adam dan Nur Amina yang membawa 'cinta paling suci' abad ini.

Kalaulah diberi pilihan, lelaki persis Adam dan wanita seperti Nur Amina juga menjadi keinginan Tiz dan Remy. Sebenarnya, sengaja persoalan itu diusik, sementelah aktor dan aktres ini dilihat sebagai merpati dua sejoli.

"Siapa yang tidak mahu, sudah tentu saya juga mahukan wanita seperti Nur Amina," ujar Remy bersambung ketawa.

Kata Tiz pula: "Wow! Kalaulah wujud 'Adam' seperti Adam dalam Nur Kasih itu kan? Pernah jugalah saya berharap sebegitu."

Kembali terheret emosi Adam dan Nur Amina yang bakal disaksikan di layar perak pada Khamis ini, Remy dan Tiz ditakluk debar dan rindu yang sama.

Jika sebelum ini mereka berharapkan siri menjadi filem namun selepas Nur Kasih the Movie (NKTM), tidak akan ada lagi Nur Kasih selepas ini.

"Filem NKTM adalah penamat kepada siri drama. Di hujung siri, Adam menjadi lelaki yang semakin matang dalam segala segi. Tapi pada masa yang sama, masih ada sikap memberontak dalam dirinya. Itulah Adam. Bagi saya, Mira (penulis skrip) mahu bercerita tentang karma dan membesarkan tentang ketentuan Ilahi.

"Secara peribadi, semasa kembali ke lokasi Nur Kasih dulu, kami semua sangat seronok sebab dapat kembali dalam sebuah keluarga yang sama," cerita Remy menyimpan debar terhadap respons khalayak.

Masih bersuamikan lelaki yang sama, berumah dan beribukan ibu mertua yang sama, begitu juga dengan prinsip yang sama, Nur Amina versi filem kembali menghidupkan impak yang dicipta Tiz pada awal kemunculannya.

"Saya anggap impak Nur Amina itu satu pencapaian. Cuma saya agak takut untuk membawa watak Nur Amina di layar lebar. Peminat mahukan kesinambungan, itu yang kami semua kena fokus. Saya takut dengan jangkaan penonton, takut impaknya tidak seperti versi drama," katanya berhati-hati.

Tidak terlebih dan tidak juga terkurang, Tiz mahu berkongsi perkembangan karakter Nur Amina dengan pembaca.

"Ombak hidup Nur Amina semakin besar. Dalam drama, dia seorang yang reda, tapi dalam filem, dia menjadi lebih tegas mempertahankan miliknya, keluarga dan suaminya," ujar Tiz, menyimpan memori lokasi NKTM sebagai kenangan terbaik yang pernah berlaku sepanjang bergelar pelakon.

No comments:

Post a Comment