PETALING JAYA: Juara One In A Million (OIAM) kedua, Norayu Damit atau lebih dikenali sebagai Ayu, 21, menegaskan bahawa dia tidak akan mempamerkan suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 23, dan anaknya, Syed Nashrul Haikal, 1, kepada umum.
Walaupun telah mengaku statusnya sebagai isteri dan ibu pada April lalu kepada pihak media, Ayu tetap dengan pendiriannya, enggan keluarganya ditonjolkon dalam dunia glamor hiburan tempatan.
Menurut Ayu, keputusan itu dibuat atas dasar permintaan suami dan kedua-dua belah pihak keluarganya.
"Bagi saya, keluarga adalah bersifat peribadi. Mereka enggan ditonjolkan secra terang-terangan.
"Lagipun saya menghormati permintaan suami dan keluarga. Kalau nak kata saya sembunyikan mereka tidak juga. ini kerana bila kami keluar berjalan macam biasa dan orang ramai boleh namapk. Cuma mereka tidak dipamerkan dalam mana-mana media cetak atau elektronik.
"Alhamdulillah, setakat ini suami juga memberi sokongan dan merestui kerjaya nyanyian saya," katanya yang ditemui di studio rakaman milik penerbit lagu, Rudy Muhammad, di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, Ayu mengakui bahawa kehidupannya kini lebih mencabar berbanding sebelum dirinya berkahwin.
Menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu di usia yang muda sedikit sebanyak mengubah karakternya.
"Sekarang ini saya hanya fokus pada dua perkara sahaja iaitu kerja-kerja di rumah serta karier.
"Diakui, menjadi seorang isteri dan ibu bukan mudah. Malah karakter saya juga berubah kepada seorang yang kuat membebel.
"Lagipun ibu yang menjaga anak saya di kampung buat masa ini. Malah ibu saya menetapkan saya boleh mengambil anak ketika usianya dua tahun. Maklumlah, kini saya sedang dalam proses kemunculan semula dengan album baru, jadi ia memerlukan fokus yang lebih.
"Apa yang tidak seronoknya, anak saya memanggil ibu saya dengan panggilan mak dan saya pula anak panggil kakak. Rasa sedih dan pada masa sama juga kelakar," selorohnya yang sedang sibuk dengan pembikinan album keduanya.
Kemunculan semula dengan album kedua Ayu pasti akan dinanti-nantikan oleh peminat-peminatnya.
Membawa sebanyak enam lagu saduran dan sebuah lagu baru, Ayu gembira kerana dia tidak sabar melihat respon yang diberi oleh masyarakat.
Dengan kesediaan 100 peratus, Ayu yakin bahawa album kedua kali ini bakal menjadi langkah pertama untuknya kembali bertapak dalam industri muzik tempatan.
"Dalam album ini, saya ingin menunjukkan bahawa saya masih lagi ada bakat dan boleh menyanyi lagi.
"Menariknya, lagu-lagu lama yang pernah popular seperti Flora Cinta yang dinyanyikan oleh Min Malek dan Salam Buat kekasih (Nadia) akan diberi nafas baru.
"Kemudian, selepas selesai album ini saya akan pulang ke Sabah dan hanya membuat persembahan di Sabah sahaja. Semua ini demi anak, saya mahu meluangkan masa dengannya.
"Bagaimanapun, saya tidak akan lama, cuma dalam masa enam bulan saya tinggal di Sabah dan akan berulang-alik ke Kuala Lumpur.
"Dengan cara itu juga saya dapat merapatkan hubungan dengan peminat di sana pula," tuturnya.
Selain lagu Flora Cinta dan Salam Buat Kekasih, lagu seperti Penghujung Rindu, Dendam Dalam Diam, Setia kekasih dan Kabut Serangkai Mawar turut dimasukkan dalam album kedua Ayu.
No comments:
Post a Comment