Saturday, November 13, 2010

Jamal Seru Artis Jangan Hisap Dadah


KUALA LUMPUR: Penyanyi Jamal Abdillah menasihatkan artis-artis serta anak muda supaya tidak sesekali terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Katanya, penagih dadah menghadapi banyak masalah termasuklah kewangan, kerjaya yang terumbang-ambing serta hubungan renggang dengan keluarga dan masyarakat.

"Isu yang lebih besar ialah macam mana sukarnya untuk berhenti daripada menjadi seorang penagih.

"Dengan apa yang saya lalui, saya mahu semua pihak dan para artis janganlah sesekali mencuba kenikmatan yang singkat ini," katanya pada sidang akhbar 'Sepetang Di Pengasih Bersama Media' di Rumah Pengasih di sini, Jumaat.

Rumah Pengasih ialah pusat rawatan dan pemulihan dadah yang diwartakan kerajaan dan mula beroperasi pada 1993.

Penyanyi yang terkenal dengan album Kekasih Awal Dan Akhir itu turut melahirkan kebimbangan seseorang yang menjalani rawatan pemulihan akan kembali menagih dadah sekiranya tidak mendapat sokongan masyarakat serta longgar pegangan agama.

"Tetapi kalau kita buka mata serta hati kita, kita boleh sama-sama kongsi pandangan bagi mengatasi gejala penyalahgunaan dadah.

"Kita nampak kerajaan telah menghasilkan banyak idea untuk menanganinya. Saya sebagai rakyat negara ini ingin menyumbangkan tenaga dan fikiran untuk membantu," katanya.

No comments:

Post a Comment