Saturday, November 27, 2010

Kritikan terhadap filem 2 Alam diterima


PETALING JAYA: Empat remaja lelaki yang ditemui selepas selesai menonton filem 2 Alam malu untuk mengakui telah menonton filem yang dikatakan mampu mengutip kutipan RM40 juta.

Menurut mereka, filem terbitan Dr Rozmey Che Din melalui syarikatnya DR Movie Productions itu juga secara tidak langsung telah memberi persepsi buruk kepada filem Melayu lain.

“Kami menonton filem ini kerana ingin mengetahui apa sebenarnya yang orang perkatakan tentang filem ini.

“Namun setelah menonton selama sepuluh minit sahaja kami sudah mengerti apa yang mereka katakan selama ini tentang filem 2 Alam ini.

“Secara jujurnya ia telah memberi tanggapan buruk kepada filem-filem Melayu yang lain,” ujar Azlan, 23, iaitu salah seorang remaja yang enggan nama sebenar mereka didedahkan media.

Bagi Irwan Noh, 25, pula memberitahu filem ini mempunyai jalan cerita yang tidak bertaraf sebuah filem.

“Apa yang saya dapat tonton sepanjang satu jam setengah ini tidak seperti sebuah filem, malah banyak drama di televisyen lebih baik dari filem ini.

“Saya harap selepas ini pihak yang bertanggungjawab lebih pentingkan kualiti sesebuh filem yang akan ditayangkan bukan sekadar siap dan memenuhi piawaian sahaja,” katanya.

Manakala bagi Aiman Roslin, 28, memberitahu filem ini tidak mungkin mencapai sasaran disebabkan kualiti dan jalan cerita yang terlalu membosankan.

“Saya bukan pengkritik filem tetapi bagi pandangan mata penonton biasa seperti saya filem ini terlalu membosankan.

“Selain terlalu bangak adegan sama yang berulang-ulang, pelakon-pelakon juga kurang memberi lakonan yang baik, saya hairan bagaimana produser filem ini boleh menyasarkan sebanyak RM40 juta,” ujarnya.

Ketika tinjauan dibuat di beberapa pawagam utama sekitar Lembah Kelang iaitu di e-Curve, Mid Valley, One Utama dan Pavillion, tempat duduk di setiap bilik yang menayangkan filem ini hanya dipenuhi kurang dari sepuluh penonton sahaja.

Malah ketika tayangan sedang berlangsung beberapa penonton mengambil keputusan untuk keluar dari pawagam.

Dalam pada itu, maklumat dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kutipan filem tersebut baru mencecah RM230,000 atau RM0.23 juta dan masih terlalu jauh mencapai sasaran seperti yang dilaungkan oleh produsernya iaitu RM40 juta.

No comments:

Post a Comment