Thursday, November 11, 2010

Rozita Tak Reka Kontroversi Mahu Bersara


PETALING JAYA: Aktres Rozita Che Wan yang meluahkan hasrat untuk bersara dari industri seni menjelang Januari 2011 menegaskan dia tidak mengada-adakan cerita itu.

Dalam nada tegas, aktres drama Kiah Pekasam ini menepis dakwaan berhubung kenyataannya untuk bersara hanyalah gimik yang dilakukan untuk tahun 2011.

Malah, dia tetap dengan pendiriannya dan mahu semua pihak melihat sendiri sama ada hasrat untuk bersara benar ataupun tidak.

"Tunggu dan lihat sama ada saya buat gimik atau tidak. Siapa pun boleh bercakap saya nak buat gimik atau publisiti murahan tetapi hakikatnya saya lebih tahu.

"Saya rasa seperti ada orang dengki dengan saya. Saya tak fahamlah, cakap salah, tak cakap pun salah. Lagipun selama ni bukannya saya yang jaja publisiti tetapi media yang cari saya," ujarnya.

Kakak kepada aktres Ayu Raudhah ini tidak menafikan selepas membuat keputusan itu, semakin banyak pula tawaran berlakon dan undangan menjadi model diperolehnya sedangkan Rozita hanya ada satu bulan sahaja lagi sebelum mengundur diri dalam bidang seni.

Menurutnya, tarikh terakhir dia akan berlakon adalah 21 Disember ini. Selepas itu, dia akan kembali menjalani kehidupan sebagai orang biasa dan menumpukan perhatian kepada perniagaan.

"Sehingga sekarang, ramai pihak dari Astro yang mahu menawarkan lakonan kepada saya. Tetapi saya terpaksa menolak kerana sudah pilih untuk tidak berlakon lagi pada tahun depan," ujarnya yang sedang menjalani penggambaran drama Kempink untuk TV3.

Selepas ini, dia akan teruskan dengan penggambaran telefilem Kuala Pilah Next Top Model dan drama 13 episod Ungu Hani.

Menyentuh tentang pakaian yang diperagakannya semasa Malaysia-International Fashion Week 2010 (MIFW'10) baru-baru ini yang dikatakan agak seksi, Rozita hanya mengikut kehendak pereka fesyen Zery Zamry.

"Saya cuba membantu Zery menyampaikan fesyen menerusi pakaian tersebut. Saya cuma model “catwalk” yang perlu memperagakan pakaian. "Saya rasa pakaian itu tidak terlalu seksi," katanya.

kredit: mstar

No comments:

Post a Comment