Dunia selebriti bukanlah seindah yang dikhabarkan. Kisah peribadi menjadi tatapan dan dikongsi bersama sehingga kadang kala timbul isu mengaibkan.
Percintaan dan perceraian adalah perkara normal yang kerap ditimbulkan, malah kadang kala gosip panas lebih kerap menghias kerjaya berbanding bakat yang ada. Adakah ini menguntungkan atau sebaliknya?
Begitu juga halnya dengan aktres Almy Nadia. Kisah percintaannya dengan Fizz Fairuz lebih menjadi buruan media dan terbentang luas untuk diteroka peminat daripada kisah karier lakonannya.
Mengakui perkara tersebut membebankan, apatah lagi gosip pasal mereka putus cinta seringkali kedengaran.
"Kami berdua masih bersama. Gosip putus cinta itu tak benar. Janganlah hanya kerana saya tak hadir ke majlis harijadi Fizz, timbul cerita kami sudah berpisah.
"Masing-masing sedang sibuk mencari rezeki, cuma setakat ini tak ada lagi perancangan untuk ke alam perkahwinan. Mungkin apabila nama kami sudah cukup kukuh, baru nampak arah tuju yang sebenar.
"Waktu awal percintaan dulu, kami pernah bincangkan soal kahwin tapi bila melihat banyak cerita rakan artis yang bercerai, saya jadi takut," ujar Almy yang bakal muncul dalam drama Dia Atilia di saluran Astro Prima bermula 30 November ini.
Mahu cari kejujuran
Baginya kejujuran merupakan kunci utama kepada kebahagiaan berpasangan. Namun ujian seringkali menimpa sehingga hubungan yang terbina selama lima tahun goyah dan hampir musnah.
"Berita orang ketiga dalam hubungan kami memang perkara biasa sehinggakan saya malas nak fikirkan hal cinta lagi. Kami tak tetapkan had untuk berkawan dengan sesiapa, cuma yang penting mesti jujur dan setia.
"Buat atau keluarlah dengan sesiapa pun, namun haruslah beritahu saya dulu, tak mahulah cerita itu datang dari mulut orang lain sebab kadang kala orang suka menokok tambah untuk hangatkan keadaan.
"Lagipun Fizz selalu diganggu dan sebab itu keluar cerita pasal orang ketiga dalam hubungan kami. Memang saya banyak makan hati dan pernah juga saya putuskan hubungan dengan dunia luar untuk dapatkan ketenangan. Fizz tak sukakan pergaduhan dan dia tak suka memujuk, so saya banyak diam sebab tak mahu burukkan keadaan. Tapi selalunya kalau dia buat hal, dia akan datang meminta maaf.
"Memang diakui dulu saya seorang yang pencemburu, namun saya harus buang perasaan ini jauh-jauh kerana kerja kami memerlukan komunikasi dengan pihak lain. Memang kami sudah bersama lima tahun, namun hubungan ini belum cukup kukuh untuk ke jenjang pelamin," katanya.
Tiada Masalah Dengan Fasha Sanda
Almy bakal muncul dalam drama di Astro Prima berjudul Dia Atilia bersama gandingan Fasha Sanda dan Zamarul Hisham. Almy membawakan watak Hani, isteri kepada Faizal (Zamarul Hisham) yang terbunuh dalam kemalangan semasa cuba menyelamatkan anaknya.
"Kes bergaduh dengan Fasha sudah lama dan ia berlaku sebelum shooting Dia Atilia. Apa yang lepas biarkan berlalu, saya tak suka simpan memori buruk.
"Sebelum ini saya dengar pelbagai cerita buruk mengenai Fasha, namun setelah mengenalinya di set, saya tak takut lagi berlakon dengannya. Saya tiada masalah dengannya. Fasha ni kalau orang tak kacau dia, dia pun tak kacau orang," ujarnya.
Drama ini diinspirasikan daripada filem Bollywood, Kuch Kuch Hota Hai di mana Faizal akan bertemu semula dengan sahabat lamanya, Dia Atilia lakonan Fasha Sanda. Dia Atilia akab disiarkan bermula 30 November ini pada setiap Selasa pada jam 9.00 malam.
No comments:
Post a Comment