PETALING JAYA: Pasangan artis Eira Syazira dan Azad Jasmin pernah mengaku tentang hubungan cinta mereka baru-baru ini.
Namun, cukuplah sekali pengakuan tersebut dilakukan. Bagi mereka, selebihnya tidak perlulah terlalu dihebahkan kepada umum.
“Setakat ini, kami tidak menafikan tentang hubungan kami tapi rasanya tidak perlulah diceritakan lebih lanjut tentang sejauh mana.
“Ini kerana kami mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada hubungan cinta kawan-kawan artis lain. Biarlah kami simpan cerita peribadi ini sendiri. Apabila tiba masanya, kami akan terangkan kepada semua,” kata Eira Syazira atau mesra disapa Eira kepada mStar Online.
Apa yang lebih bagi pasangan ini, menghebahkan tentang kerjaya lebih penting berbanding cinta yang belum menemui noktahnya.
Lebih-lebih lagi, masing-masing merasakan masih baru menempa nama dalam industri hiburan.
Biarpun mereka cuba mengunci mulut tentang cinta, tetapi pasangan ini terpaksa merungkai tentang kisah cinta mereka dalam drama terbaru berjudul Anak Mami Mek Ani.
Drama 13 episod itu disiarkan di Astro Warna (saluran 132) pada setiap Selasa, 9 malam mulai 30 November 2010.
Anak Mami Mek Ani mengisahkan tentang tragedi cinta seorang pemuda iaitu Rauf, keturunan Anak Mami dengan Ani iaitu seorang anak jati Kelantan.
Rauf perlu memenuhi permintaan ibunya, Mami Zee untuk berkahwin dengan Anak Mami sejati jika dia berhasrat untuk mewarisi harta peninggalan arwah ayahnya.
Malangnya dia mempunyai alahan terhadap wanita cantik dan kemunculan Ani telah meleraikan masalah alahannya namun masalah lain timbul kerana Ani bukan Anak Mami sejati.
“Drama Anak Mami Mek Ani ini bukan merupakan drama pertama kami menjadi pasangan kekasih kerana sebelum itu kami pernah berlakon dalam drama Tanya Sama Hati.
“Keserasian untuk melakonkan watak ini sudah ada cuma saya kurang melakonkan genre komedi. Jadi, Azad banyak bantu saya memandangkan dia memang pak lawak. Kami banyak berbincang dan berkongsi idea antara satu sama lain untuk menghidupkan komedi dalam cerita ini,” cerita Eira.
Tambahnya: “Menariknya, dalam cerita ini saya perlu bercakap dalam loghat Kelantan manakala Azad dalam loghat Utara. Jadi pertuturan kami itu sedikit sebanyak menimbulkan suasana komedi.”
Selain berlakon sama-sama, pasangan ini turut bekerja di bawah satu produksi muzik, Family Group Music (FMG). Syarikat tersebut pernah menerbitkan lagu Adam Hamid, Zaiton Sameon dan Dayangku Intan.
Eira bakal muncul dengan album solo pada Januari depan dengan memuatkan lagu-lagu seperti Dihati Ini, Sememangnya, Sisi Duka dan Nour El Ain.
No comments:
Post a Comment