Wednesday, November 24, 2010

Kes Cerai Zakiah Anas: Jawatan Kuasa Pendamai Diberi 3 Bulan

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa, memberikan tempoh tiga bulan kepada Jawatan Kuasa Pendamai yang dilantik dalam kes perceraian personaliti TV3, Zakiah Anas (gambar) dan suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taid untuk meneruskan perbincangan.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad memutuskan untuk memberikan tempoh masa baru itu memandangkan beliau tidak berpuas hati dengan laporan pelaksanaan seperti yang telah dibuat oleh jawatan kuasa terbabit sebelum ini.

Ini kerana, perbincangan yang diadakan sebanyak dua kali, iaitu pada 6 ogos dan 23 Oktober lalu tidak dihadiri oleh wakil plaintif, iaitu Zakiah, 43, yang melantik anak saudaranya, Affendi Yusoff.

Mohamad Yusof, 48, diwakili oleh Md Hairi Md Salleh dalam jawatan kuasa tersebut yang dipengerusikan oleh pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Mahkamah telah memberikan masa selama tiga bulan, bagaimanapun masa itu terbuang begitu sahaja dengan kedua—dua pihak tidak bekerjasama untuk melaksanakan jawatan kuasa yang dilantik.

“Sebelum ini, wakil yang dilantik telah menyatakan kesanggupan untuk menjadi wakil, tetapi sekarang sebaliknya yang berlaku.

"Oleh demikian, saya beri tempoh masa lagi untuk kedua-dua pihak meneruskan proses tersebut,” kata Ghazali.

Sehubungan itu, Ghazali menetapkan kes itu ditangguhkan kepada 9 Februari depan untuk mendengar laporan penuh jawatan kuasa terbabit.

Pada prosiding itu, Zakiah yang pernah mengacarakan rancangan berbentuk kepolisan 999 hadir dengan peguam syarienya, Abdullah Anuar Sahri manakala Mohamad Yusof yang dinamakan sebagai defendan tidak diwakili peguam.

Zakiah memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak 17 tahun yang lalu dan dikurniakan dua orang anak lelaki, Aiman Muzammil, 16, dan Amir Muzhaffar, 14.

No comments:

Post a Comment