Nadia dikenali dengan watak-watak antagonis dan lakonannya benar-benar menjadi sehingga membuatkan penonton meluat dan benci dengan wataknya yang menyakitkan hati.
Antara lakonannya yang diingati ialah sebagai Chika dalam drama bersiri popular Tari Tirana dan dalam drama Sindarella pula sebagai Puteri Rania.
Hakikatnya, Nadia memulakan kariernya sebagai penyanyi pada tahun 2007 bersama kumpulan trio anak gadis yang digelar Luscious.
Bersama dua orang rakannya, Luscious menyerlah menerusi rancangan realiti Gangstarz dan merupakan satu-satunya kumpulan wanita yang berjaya mara ke suku akhir pertandingan itu.
Boleh menyanyi dan pandai menari, tetapi entah bagaimana bakatnya dalam lakonan lebih menyerlah sehingga mereka yang sedar kewujudan Nadia sebagai seorang penyanyi hampir melupai bakatnya itu.
Kini, setelah hampir tiga tahun, akhirnya Nadia memberanikan diri untuk kembali ke cinta asalnya iaitu dunia nyanyian.
Tidak lagi bertiga, kini Nadia tampil solo dengan sebuah album yang memuatkan 10 buah lagu, tujuh buah lagu berbahasa Inggeris dan tiga buah lagu berbahasa Malaysia yang akan dipasarkan pada hujung tahun ini.
Mempertaruhkan single sulungnya, D.I.V.A. yang dicipta oleh Daniel Veerapendan dan Nadia sendiri serta lirik oleh Bahri Uma, Nadia optimis dengan pemilihan konsep lagunya ini dan enggan berpatah balik.
"Setakat ini, mereka yang mendengar lagu D.I.V.A. ini memberikan komen yang positif kerana iramanya yang rancak dan lain dari yang lain," ulasnya.
Sejak kecil lagi, dia menyimpan hasrat menjadi penyanyi tetapi entah bagaimana, bidang lakonan lebih menyerlahkan namanya.
"Mungkin semuanya bermula apabila saya terlibat dengan teater seperti Puteri Gunung Ledang dan Muzikal P. Ramlee. Dari situ saya mula jatuh cinta dengan dunia lakonan," katanya mengenai pengalaman manis di pentas teater.
Susulan daripada situ, dia menerima tawaran berlakon daripada Lakefront Records Sdn. Bhd.
Tawaran itu membuatkan Nadia nekad untuk berehat dari berlakon buat sementara waktu dan fokus dengan cita-cita asalnya.
"Bukan tidak mahu menerbitkan album sendiri dalam tempoh tiga tahun ini seperti ramai penyanyi lain lakukan, tetapi saya tidak seberapa berkeyakinan pada ketika itu.
"Bagaimanapun, saya tidak pernah berputus asa dengan muzik kerana ia adalah jiwa saya. Saya harap orang ramai dapat menerima Nadia Aqilah sebagai seorang penyanyi," ujarnya pada satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.
Kata Nadia, keputusannya untuk bergerak solo bukanlah kerana ada persengketaan dengan dua orang lagi rakan baiknya di dalam Lusciuos iaitu Inaz dan Ruzana.
Masih bersahabat baik, ujar Nadia masing-masing kini mempunyai haluan hidup sendiri dan dia pula tetap mahu meneruskan cita-cita asalnya.
No comments:
Post a Comment