Friday, August 10, 2012

Zul Suphian idam watak pondan


DIA sudah berbogel dan beraksi ghairah di layar perak, justeru apakah lagi yang bakal dilakukan oleh Zul Suphian yang dahulunya dikenali sebagai Zul Handy Black untuk mengejutkan khalayak menerusi karya-karya lakonannya pada masa akan datang?
Selepas berbogel dalam filem Mantra dan beraksi ghairah untuk filem Keramat, Zul Suphian nyata mahukan kelainan dalam filem-filem lakonannya seterusnya.
Pernah mencipta nama sebagai vokalis kumpulan Handy Black, Zul tidak malu untuk mengakui bahawa dia kini ‘mengidam’ untuk membawa watak mak nyah atau pondan pula jika diberi peluang.
Dia yang kini sedang dalam rangka promosi filem terbaharunya, Halim Munan bersama Fizo Omar dan Intan Ladyana yang bakal ditayangkan pada 13 September ini, berharap dapat memberi pelbagai dimensi watak sepanjang bekerja sebagai anak seni.
“Saya tahu muka saya kelihatan ganas tetapi jika pelakon Ahmad Tarmimi Serigar boleh membawa watak pondan dalam drama Wali dengan berkesan sekali, jadi saya yakin boleh lakukan perkara yang sama,” jelasnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama karyawan Halim Munan di Restoran Al-Andalus, Jalan Delima, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, watak antagonis dan lucu adalah watak realiti bagi lelaki normal dan ia berbeza dengan watak pondan kerana ia adalah sesuatu yang tiada pada lelaki normal.
“Saya tidak kisah untuk pegang watak pondan menerusi cerita komedi atau serius, saya yakin dapat lakukan dan ia untuk juga untuk mencabar diri sendiri,” ujar pelakon berusia 38 tahun itu.
Tambah Zul atau nama sebenarnya, Nurzul Suphia'an Sa'ban, dia tidak mahu terikat dengan watak antagonis sahaja memandangkan wajah yang dibawanya itu agak ganas.
“Kalau berlakon komedi pula, saya mesti bawa watak sebagai kaki buli atau watak jahat contohnya untuk filem Halim Munan walaupun ia sekadar watak komedi,” jelasnya.
Tidak pernah berkubur
Sungguhpun begitu, dia menghargai setiap watak yang diberikan dan dia sebenarnya suka melakonkan watak komedi kerana ia adalah seperti kisah sebenar dirinya yang suka membuat lawak.
“Watak komedi sebenarnya dekat dengan diri saya sebab di luar lakonan juga saya suka membuat lawak. Jadi watak sebegitu tidak sukar dan senang dihayati,” ujarnya yang bakal sibuk dengan penggambaran drama bersiri Bini-Biniku Perkasa di samping Intan Ladyana.
Bercerita mengenai rezekinya sebagai pelakon yang tidak pernah putus, Zul turut menyatakan kumpulan Handy Black tidak pernah berkubur walaupun dia sibuk dengan karier lakonan.
Dia dan ahli Handy Black yang lain masih membuat jemputan persembahan tetapi lebih banyak menerima tawaran untuk persembahan majlis tertutup untuk syarikat korporat.
“Kalau ada program bersama Handy Black, saya masih akan ikut serta. Setiap anggota kumpulan ini tidak pernah dihalang untuk mencari rezeki masing-masing. Apa yang penting, asalnya ia mampu mendatangkan sumber pendapatan, kami bebas untuk bergerak,” jelasnya.
Mengenai persiapan Aidilfitri pula, Zul dan isterinya, Fyza akan pulang ke Alor Setar, Kedah di sebelah keluarga Fyza selama seminggu.
“Setiap tahun persiapan hari raya kami sederhana sahaja, kami tidak suka pembaziran,” ujarnya yang bertuah kerana tahun ini isterinya membuat sendiri kuih-kuih raya.

No comments:

Post a Comment