KISAH hubungan istimewa yang terjalin antara pelakon Johan As'ari 
dengan Nabila Huda kini bukan lagi rahsia setelah kedua-duanya mengaku 
saling menyayangi antara satu sama lain.
Ironinya, perasaan sayang dan cinta yang diluahkan oleh Johan 
menerusi laman sosial Twitter miliknya itu dilakukan sebaik sahaja dia 
pulang dari Mekah selepas menjalani penggambaran dan mengerjakan umrah 
baru-baru ini.
Johan yang ditemui sewaktu rakaman program Singgah Sahur di Muar, 
Johor pada 5 Ogos lalu mengakui bahawa dia sangat menyayangi anak kepada
 penyanyi rock Amy Search itu. 
Bagaimanapun, buat masa ini juga dia tidak mahu terlalu terburu-buru 
membicarakan perkara perkahwinan, memandangkan kerjaya lakonannya yang 
kini semakin meningkat dan berserah kepada Allah berkenaan soal jodoh. 
Kosmo!: Apa yang membuatkan Johan secara tiba-tiba meluahkan rasa isi hati kepada Nabila menerusi laman Twitter?
JOHAN: Semasa berada di hadapan Kaabah sewaktu mengerjakan umrah 
tempoh hari, banyak berdoa supaya diberikan kesejahteraan dalam 
kehidupan dan berharap agar ditemukan dengan jodoh yang sesuai.
Kemudian apabila kembali semula ke tanah air, saya ambil keputusan 
untuk berterus terang mengenai perasaan saya yang sebenar terhadapnya. 
Lagipun tiada apa lagi yang perlu dirahsiakan kerana saya memang 
menyayangi dirinya.
Johan tidak kisah berkahwin dengan seorang wanita yang bergelar janda?
Bagi saya status seseorang itu bukan satu masalah yang besar kerana 
isteri Rasulullah, Siti Khadijah pun merupakan seorang janda. Lagipun 
kalau niat mahu mendirikan masjid, status sepatutnya tidak menjadi 
halangan.
Tidak dinafikan memang ada segelintir pihak yang menasihati saya 
supaya tidak menjalinkan sebarang hubungan dengan Nabila. Namun, kalau 
memang benar dia merupakan jodoh saya, sudah tentu saya tidak akan 
menolaknya.
Bagaimana pula penerimaan keluarga Johan terhadap hubungan dengan Nabila?
Sebenarnya saya dah berterus terang dengan ibu dan mengatakan 
kepadanya bahawa saya amat menyayangi Nabila. Ibu ada memberi nasihat 
kalau memang benar saya sayangkan Nabila, dia menyuruh saya terus 
berusaha dan fokus dalam bidang yang diceburi sekarang supaya kehidupan 
saya menjadi lebih stabil.
Jadi, saya akan ikut nasihat ibu saya itu dan sekarang saya berharap 
kerjaya lakonan saya semakin meningkat. Malah, ibu turut berpesan dengan
 cara itu juga menjadi tanda yang saya memang menyayangi Nabila.
Apakah yang membuatkan Johan boleh tertarik dengan Nabila?
Sepanjang kami bersahabat baik, saya dapati dia merupakan seorang 
wanita yang baik hati, sentiasa mengambil berat dan pandai memasak. 
Memandangkan dia lebih berpengalaman dalam dunia hiburan, dia yang 
banyak mengajar saya mengenai selok-belok dalam bidang ini.
Adakah Johan sudah mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga?
Sekarang ini saya belum lagi terfikir ke arah itu kerana mahu fokus 
kepada kerjaya terlebih dulu. Memang saya akui sangat menyayangi Nabila,
 tetapi tidak terlintas untuk melamarnya dalam tempoh terdekat. 
Apakah aktiviti terbaharu Johan sekarang?
Pada bulan puasa ini saya masih lagi terbabit dengan penggambaran 
drama Syahadat Cinta sehingga 16 Ogos ini. Selepas itu saya akan bercuti
 untuk sambutan Aidilfitri selama sembilan hari dan akan menyambung 
semula penggambaran drama yang sama.

No comments:
Post a Comment