Wednesday, August 15, 2012

Fara Fauzana tak kisah kerja di hari raya

Fara Fauzan terpaksa kerja di Hari Raya

BERTUGAS pada hari lebaran bukan sahaja ujian yang perlu dilalui anggota pengaman yang berjuang di perbatasan atau mengawal keselamatan negara, tapi juga hakikat yang sama turut dilalui sebilangan selebriti.
Selain petugas media, selebriti seperti penyampai radio dan pembaca berita juga tidak ketinggalan meraikan 1 Syawal sambil bertugas memberikan maklumat atau menghiburkan pendengar.
Hal yang sama pernah dilalui Fara Fauzana Mohd Fadzil, 32, ketika menyambut pagi 1 Syawal di konti radio Hot FM sejak di awal usia penubuhan stesen radio swasta itu lebih kurang enam tahun lalu.
Ujarnya, rutin pagi raya yang sama telah dilaluinya beberapa tahun sebelum ini selaku perintis perjalanan sulung stesen radio terkenal itu.
Usai tugasan pagi raya pertama di konti, kata Fara dia akan meluangkan masa bersama keluarga di Shah Alam dan sesi menziarah sanak saudara pada sebelah petang.
Tidak menjadi hal bagi seorang selebriti yang sangat dikenali kerana keletah bersahaja dan melucukan, namun bagi Fara selagi statusnya sebagai wanita bujang dia tidak berkira.
“Saya bukan jenis seorang yang beria-ia sangat setiap kali tibanya Syawal, semua persiapan saya serahkan kepada ibu saya.
“Tahun ini kemungkinan besar saya cuma bercuti selama tiga hari saja dan itu bukan masalah besar bagi saya sementara saya masih bujang. Malah, kalau kena kerja pada malam raya pun saya tak kisah,” katanya yang gemarkan biskut nescafe sempena juadah hari raya selain kuih loyang yang menjadi kewajipan setiap kali kemunculan Aidilfitri.
Rutin yang bermula seawal pukul 4 pagi setiap hari tidak menghalang pengacara rancangan Nona itu untuk kekal aktif melakukan tugas seharian terutamanya bulan Ramadan.
“Pukul 4 pagi hingga 2 petang tugas saya di konti Hot FM, setelah berbuka bersama keluarga saya akan luangkan masa bersolat tarawih di masjid dan kadang-kala sahur dengan pendengar,” katanya yang lebih mempunyai ruang peribadi semenjak kedatangan bulan Ramadan tahun ini.
Memandangkan rancangan Nona khas Ramadan pada tahun ini menyajikan rakaman rutin harian masyarakat di beberapa buah negara telah siap dan kini menanti tempoh tayangan, Fara mengakui dia boleh menarik nafas lega buat seketika.
Fara juga berkongsi cerita dan pengalamannya sepanjang berkunjung ke beberapa buah negara untuk mengacarakan rancangan itu sempena edisi khas Ramadan.
“Saya berpeluang menjejakkan kaki ke Kemboja buat pertama kali dan berkesempatan ke lokasi yang diberi jolokan Killing Tree.
“Suasana ketika itu sunyi sepi dan keadaan tiba-tiba menjadi pilu, ketika itu saya menangis. Itu diri saya sebenarnya saya jika ramai yang belum tahu,” katanya yang berjiwa sensitif.
Bagaimanapun, Fara menegaskan dia belum bersedia untuk menggalas peranan mengacarakan rancangan berbentuk penderitaan masyarakat atau menyedihkan.
“Sejujurnya, jika ada peluang yang datang, saya suka untuk melakukannya. Tapi buat masa ini, saya belum bersedia. Saya bukan tak nak buat, tapi saya perlu betul-betul bersedia dan yakin dengan skil mengacara saya.
“Sepanjang diberi peluang selama lapan bulan menjadi pengacara, saya masih belum jadi yang terbaik, tapi apa yang boleh saya katakan saya faham apa yang dikehendaki penonton dan apa yang patut saya berikan,” ulasnya.
Sementara itu, bertanya kepadanya tentang penghijrahan teman sekonti, Sharifah Aleya, serapuh hatinya yang sebenarnya senang mengalirkan air mata, Fara juga menangis ketika pertama kali melihat Aleya mengenakan hijab pada penghujung bulan Julai lalu.
“Saya menyokong perubahan positif kawan baik saya dan kami umpama adik-beradik, perubahan itu berkat doa semua orang begitu juga untuk diri saya sendiri.
“Saya menangis kerana terlalu gembira dan dia sudah mendapat seru untuk mengenakan hijab seperti yang dituntut syarak,” tambah Fara.

No comments:

Post a Comment