NOORFARAASHIKIN tenang diapit dua orang peguamnya, Amir Hamzah dan Nizam Bashir pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Nama dan wajahnya dikenali ramai setelah bernikah dengan penyanyi,
Datuk Hattan. Namun, jodoh mereka tidak panjang. Fara hanya bergelar
isteri kepada penyanyi tersebut selama 62 hari.
Rentetan daripada perkahwinan itu, sebuah blog menyiarkan gambar
peribadi Fara yang menurut Fara merupakan satu fitnah terhadap dirinya.
Jelas Fara, penyebaran gambar itu bermula sekitar tahun 2008 selepas
akaun e-mel miliknya digodam. Penggodam berkenaan juga mencipta e-mel
lain dan menyebarkan gambar-gambar tersebut dengan niat untuk
menjatuhkan maruah dan reputasinya.
Sekali lagi pada tahun 2011, akaun Facebook Fara digodam oleh pihak
lain sebelum memuat naik beberapa artikel palsu yang bertujuan
mengaibkan dirinya.
Tegas dan mahu perkara ini diambil serius, Fara memfailkan saman terhadap pengendali blog Oh! Bulan.
Kenapa Fara mahu saman pemilik blog tersebut?
FARA (F): Tindakan ini bagi memberi pengajaran kepada blog tersebut
selain membersihkan nama saya daripada isu fitnah. Saya dan pihak peguam
juga sedang mempertimbangkan untuk mengheret beberapa blog lain ke muka
pengadilan berhubung kes yang sama.
Saya berasakan tindakan ini adalah wajar memandangkan reputasi dan bisnes saya terjejas dengan penyebaran cerita tersebut.
Adakah tuntutan ini setimpal dengan kesalahan blog tersebut?
F: Ini bukan soal duit. Saya lihat isu ini daripada sudut berbeza.
Tak usah bercakap soal jumlah RM1 juta itu tetapi apa yang mereka telah
lakukan pada saya lagi teruk. Orang mula curiga dengan saya malah ada
yang percaya bulat-bulat berita yang disebarkan itu.
Terukkah kesan fitnah itu terhadap diri dan bisnes Fara?
F: Paling teruk ialah fitnah tersebut menjejaskan bisnes dan reputasi
saya. Penyebaran fitnah seperti itu memang tidak boleh dimaafkan. Lebih
malang, mereka langsung tidak memberi respons apabila peguam saya
mengambil tindakan awal sebelum ini.
Adakah tindakan saman ini satu ancaman kepada blog hiburan tempatan yang lain?
F: Ini adalah pengajaran buat mereka. Saya bukan artis mahupun selebriti yang perlu mereka jadikan mangsa.
Harap-harap tindakan undang-undang ini mampu memberi pengajaran
kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dengan apa juga
penyebaran berita selepas ini. Kita perlu ada etika dalam kerja
masing-masing.
Mungkin Amir selaku peguam boleh terangkan perkembangan kes ini?
AMIR (A): Kira-kira dua minggu lalu kami memfailkan kes ini di
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan masih menanti pernyataan pembelaan
daripada blogger terbabit.
Bukan tidak ada cara lain yang boleh dilakukan tetapi mereka hanya
berdiam diri. Kita pernah hantar satu surat tuntutan pada Mac lalu.
Kalau boleh kami mahu menyelesaikan kes ini secara baik di luar
mahkamah.
Mereka (pihak terlibat) menulis tanpa mengambil kira kesahihan berita
itu. Tidak ada yang menghubungi anak guam kami untuk mendapatkan
penjelasan atau bertanyakan tentang kebenaran bahan yang hendak
disiarkan itu.
Sudahkah laporan polis atau aduan kepada pihak berkuasa lain dibuat?
A: Anak guam saya telah membuat banyak laporan polis berhubung dengan
hal penggodaman iaitu sejak tahun 2008 lagi. Selain pihak polis,
laporan juga dibuat kepada pihak Cyber999 dan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM).
Berikutan dengan insiden penggodaman dan pemalsuan artikel berkenaan,
beberapa blog dan laman web media tempatan telah menggunakan artikel
palsu tersebut sebagai bahan untuk pembaca mereka termasuklah blog yang
disaman oleh Fara.
Bagaimana dengan tindakan lanjutan daripada pihak SKMM?
A: Setakat ini tiada tindakan lanjut daripada pihak SKMM. Boleh
dikatakan mereka gagal mengambil langkah yang efektif untuk menangani
jenayah siber seperti penggodaman dan penyebaran berita palsu.
Kredit: Kosmo Online Hiburan
No comments:
Post a Comment