Rita Rudaini |
SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini mempersoalkan sikap pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Aidil Zafuan Abdul Radzak yang sentiasa gagal menghadirkan diri ke mahkamah bagi sebutan kes permohonan plaintif berhubung tuntutan nusyuz (perintah kembali taat) terhadap isterinya pelakon Rita Rudaini.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad berkata, Aidil tidak sepatutnya terlalu mementingkan bola sepak dan memintanya membuat pertimbangan tentang perkara yang lebih penting dalam hidupnya iaitu rumah tangga dan anak-anak.
"Tidak berdosa kalau tak main bola sepak tetapi soal yang dibincangkan dalam mahkamah ini adalah berkaitan dengan hidup dan mati.
"Perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat seperti mainan. Plaintif (Aidil) perlu buat pengorbanan dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kes ini," katanya.
Sebelum itu, peguam plaintif iaitu Noor Hazlina Che Hasan memberitahu mahkamah anak guamnya tidak dapat menghadirkan diri ke mahkamah atas alasan sedang menjalani latihan bola sepak di Austria selama dua minggu.
Noor Hazlina secara lisan memaklumkan kepada makhamah Aidil telah berlepas ke negara tersebut pada 4 Ogos lalu dan hanya akan kembali ke tanah air sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.
Dalam pada itu, peguam defendan (Rita) iaitu Datuk Mohd Zaidi Md. Zain memohon kepada mahkamah supaya pihak plaintif mengemukakan surat bertulis sekiranya gagal untuk hadir ke mahkamah pada masa hadapan dan bukannya dibuat secara lisan.
Mohd Zaidi juga memberitahu mahkamah pihaknya dan peguam plaintif ada berbincang secara tidak formal mengenai cadangan Wan Mahyuddin supaya pasangan itu menyelesaikan masalah mereka secara baik.
Bagaimanapun kata Mohd Zaidi perbincangan itu tidak dihadiri pasangan itu.
"Perbincangan hanya dibuat secara lisan dan tidak formal melibatkan peguam masing-masing tanpa kehadiran anak guam kami," ujarnya.
Noor Hazlina pula memberitahu mahkamah, dia ada berbincang dengan Aidil namun tiada sebarang keputusan formal dibuat.
"Pihak kami akan mengemukakan jawapan secara bertulis kepada mahkamah sekiranya terdapat sebarang keputusan dan pihak kami perlu menunggu plaintif pulang dari luar negara terlebih dahulu," ujarnya.
Sementara itu, peguam plaintif telah menfailkan affidavit jawapan terhadap bantahan awal yang dikemukan oleh pihak defendan berhubung tuntuntan kembali taat yang dibuat oleh Aidil dan diserahkan kepada peguam defendan.
Mahkamah mengarahkan jawapan itu dibalas oleh pihak defendan untuk dikemukakan pada sebutan kes akan datang.
Kes disambung pada 3 Oktober depan.
No comments:
Post a Comment