Siti Nordiana |
PETALING JAYA: Penyanyi Siti Nordiana merancang untuk membawa anak lelaki tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie yang berusia 4 tahun melawat pusara bekas suaminya pada Hari Haya kelima nanti.
Siti Nordiana berkata, dia mahu membawa Rayyan melawat kubur Allahyarham Mohd Faizal Yusup kerana tidak mahu memutuskan silaturahim antara anak dan bapa walaupun Faizal sudah tiada.
"Walaupun bekas suami telah meninggal dunia tetapi saya tidak mahu memutuskan hubungan mereka dan biar Rayyan tahu apa yang terjadi dan berharap apabila dia sudah besar dia akan sentiasa mendoakan kesejahteraan bapanya," katanya kepada mStar Online.
Tambah Siti Nordiana, kesempatan itu juga dia akan melawat keluarga bekas mertuanya di Kuala Selangor dan memberi peluang Rayyan berhari raya dengan mereka.
"Biarpun saya sudah tiada apa-apa lagi hubungan dengan mereka tetapi saya sentiasa menganggap keluarga bekas suami sebagai darah daging sendiri dan Rayyan adalah milik mereka juga.
"Saya mahu Rayyan kenal keluarga arwah bapanya dan berharap silaturahim di antara kami tidak akan terputus," katanya.
Dalam pada itu, Siti Nordiana memberitahu anaknya itu sentiasa bertanyakan tentang Faizal terutama jika drama lakonan arwah ditayangkan di televisyen.
Katanya, Rayyan akan segera memberi respons dengan memanggil Faizal walaupun sudah lama kehilangan bapa.
Sementara itu, Siti Nordiana memberitahu persiapan Hari Raya tahun ini lebih tertumpu kepada anaknya selain menyediakan keperluan untuk ahli keluarganya di Nilai, Negeri Sembilan.
Siti Nordiana berkata, Syawal hanya disambut secara sederhana kerana apa yang paling penting kehadiran ahli keluarga dan sanak saudara dapat memeriahkan suasana.
"Apabila kita merasai kehilangan sesuatu dalam hidup, keluarga akan menjadi perkara paling penting terutama pada Syawal," katanya.
No comments:
Post a Comment