Sunday, August 19, 2012

Ziana raya jelajah Melaka


NAMA sahaja dia berasal dari Merlimau, Melaka namun sejak kecil hingga dewasa dan kini sudah punya anak empat, Ziana Zain jarang pulang beraya di kampung halamannya.
Ibarat tajuk lagu raya dendangannya bersama Awie, Halaman Asmara, tahun ini rindu dendam penghibur sejak dua dekad itu akan berpesta Aidilfitri di kampungnya di Merlimau, Melaka.
"Itu semua atas persetujuan abah dan adik beradik yang lain, termasuk Anuar. Seingat saya sejak dewasa dan bergelar artis, rasanya tidak sampai 10 kali kami sekeluarga dapat peluang beraya di Melaka. Abah susah dapat cuti (semasa menjadi anggota polis) jadi kami beraya di Subang dan Shah Alam sahaja.
Tahun ini, Ziana pulang beraya di rumah Pak Uda dan Mak Uda di Kampung Simpang 3½ Merlimau. Kata Ziana, dia masih mampu pusing jalan-jalan sekeliling kampung sambil menaiki skuter bersama sepupunya.
JELAJAH RUMAH SAUDARA
Tahun ini, si kembar Muhammad Ariel Armin dan Siti Nour Kaseh Armin Zaharin pun masuk umur tiga tahun, senang sikit dan bawa jelajah rumah pak cik dan mak cik sekitar Melaka. Aiman dan Ammar pun dah remaja, harap seronoklah mereka dapat kenal geng dan sepupu-sepapat masing-masing.
BISKUT RAYA KEGEMARAN
Biskut raya kegemaran saya dan adik-beradik mestilah biskut tat nanas. Kami semua akan rasa dan pilih biskut tat yang paling best untuk hidangan raya. Tapi, biskut tat paling sedap ialah biskut tat buatan ibu, memang terbaik!
TONTON TV DI HARI RAYA
Sekarang ini ramai yang sudah boleh rakam sahaja program kegemaran. Jadi, kalau rasa teringin sangat tengok program yang diminati, rakam sahaja. Kalau asyik renung televisyen, baik beraya dengan televisyen sahaja, rugi rasanya, padahal rayalah masa untuk kita jumpa saudara-mara. Kalau saya, saya suka program nyanyi-nyanyi, bukan apa, boleh tengok fesyen baju, rambut dan solekan artis, boleh buat bahan bersembang.
BAJU SEDONDON
Wajib! Dua tahun lepas kami seluruh keluarga, abah, emak, adik-beradik, suami, anak dan anak-anak buah semuanya pakai baju sedondon. Anuar yang taja. Tahun ini kami buat baju sedondon juga tapi keluarga masing-masing. Saya dengan Qaseh pakai baju warna biru raja, yang lelaki pakai warna biru muda. Seronok pakai sedondon, tambah-tambah bila ada anak perempuan, masuk tahun ini sudah dua tahun saya sedondon dengan Qaseh.
TOPIK SEMBANG HARI RAYA
Topik apa yang ada depan mata, pasal gemuk atau kurus tubuh badan masing-masing dan usik-mengusik bab barang kemas dan macam-macam. Tapi, bab pertama yang disebut selepas bersalam-salam raya ialah bab anak. Anak dah berapa, anak buat apa, lepas tu baru sembang bab lain.
TIDUR PETANG RAYA
Kadang-kadang, kalau saudara-mara ramai sangat, sambil bercakap pun boleh terlena sekejap. Mengantuk sangat, maklumlah, tidur dah lambat, bangun awal pagi, mahunya tak mengantuk.

No comments:

Post a Comment