KUALA LUMPUR: Kegagalan perkahwinan yang dilalui oleh pelakon Wan Sharmila Wan Muhammad, 30, telah memberi kesan yang mendalam apabila dia berasa fobia untuk berkahwin semula.
Menurut Wan Sharmila, penceraiannya dengan bekas suami, Fazli Bahrom pada 23 Oktober 2009 meninggalkan kenangan pahit dan hal tersebut membuatkan dia lebih selesa hidup solo selain mempunyai jadual yang padat.
"Diakui saya sedikit fobia dan belum berani untuk mendirikan rumah tangga buat masa sekarang kerana kegagalan rumah tangga yang dibina sebelum ini memberi keraguan untuk saya berkahwin buat kali kedua.
"Sampaikan apabila melihat rakan-rakan yang baru hendak berkahwin membuatkan saya pula yang rasa takut dengan perkahwinan mereka itu," katanya.
Tambah Wan Sharmila, memegang status janda tidaklah berat untuk ditanggung seperti yang diperkatakan ramai kerana sehingga hari ini dia tidak pernah merasakan dirinya pernah berkahwin dan pernah bercerai.
Bagaimanapun, dia tidak menolak untuk berkahwin semula jika satu hari nanti dia dijodohkan dengan seorang lelaki yang sesuai dengannya.
"Walaupun mempunyai perasaan fobia, sebagai seorang perempuan sudah semestinya saya mahu memiliki seorang suami yang boleh membimbing saya dan pada masa sama saya juga teringin untuk memiliki zuriat.
"Cuma sekarang ini saya belum mempunyai teman lelaki walaupun ada yang cuba datang untuk mendekati saya. Sekarang ini, karier adalah fokus utama," ujarnya yang membintangi drama “Si Jundai” yang disiarkan pada Isnin hingga Khamis, pukul 4 petang, menerusi slot Legenda, TV3.
Ketika ditanya adakah pelakon itu akan kembali bersama bekas suaminya, pelakon wanita itu memberitahu lebih selesa jika hubungan mereka sekadar berkawan sahaja.
No comments:
Post a Comment