ORANGNYA manis macam madu dan bertubuh genit. Eyka Farhana, begitu dia memberi nama komersial kepada diri sendiri. Sedang nama yang diberi orang tuanya tidak kurang enak didengar, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi.
Baru berusia 16 tahun, Eyka belum popular seperti pelakon remaja sedia ada. Namun, bakat semula jadi yang dimilikinya cukup terserlah terutamanya melalui drama bersiri Juvana yang kini hangat ditayangkan di TV3.
Dalam masa yang sama, dia yang pernah muncul dengan Pontianak Gua Musang juga menyorot banyak mata dan menjadi bualan sewaktu muncul dalam telemovie Sejadah Kaabah bersama Eja kurang sebulan yang lalu.
“Ini sesi fotografi pertama saya,” katanya yang juga terbabit sebagai model iklan komersial seperti iklan Magnolia.
Mula diberi perhatian selepas Juvana menjadi popular sekarang, pemegang watak Nadia dalam drama terbitan Filmscape itu memberitahu, dia teruja kerana diberi kesempatan terbabit dalam drama tersebut.
Sementelah dia dikelilingi pelakon-pelakon hebat seperti Bront Parale, Beto Khusairy dan Zahiril Adzim.
“Mungkin watak saya tidak sebesar pelakon-pelakon lelaki sedia ada. Tetapi dapat memegang watak Nadia dan berlakon dalam sebuah produk yang boleh memberi pengajaran atau moral cerita yang baik sudah memadai buat saya.
“Paling mengujakan apabila saya dapat menimba ilmu daripada pelakon senior, terutamanya Zahiril yang memegang watak Daim dan menjadi teman kepada watak saya iaitu Nadia,” katanya.
Mengajak pelajar Sekolah Perempuan Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur ini berbicara tentang dunia lakonan, Eyka memberitahu dia terjun ke dalam bidang ini kerana minat - satu jawapan yang klise.
Namun, di sebalik jawapan klise tersebut, anak kedua daripada empat beradik ini benar-benar mempunyai iltizam yang tinggi dalam bidang yang dicintainya ini.
“Saya tahu saya masih sangat baru. Malah, saya baru berlakon dalam tiga buah produk. Justeru sasaran saya sekarang adalah untuk terbabit dengan lebih banyak produk kerana saya ingin mengasah bakat saya lagi.
“Kalau boleh saya teringin membawa watak jahat kerana ia memberi cabaran yang berlainan kepada bakat saya.
“Jadi saya harap ada pihak yang perasan dengan bakat saya,” katanya yang mendapat sokongan padu daripada ibunya, Zaidah Ma’anas.
Diasak tentang tidak mudah percaturan dalam bidang seni yang memungkinkan dia melupakan hasrat untuk menjadi pelakon pada masa akan datang berikutan lambakan pelakon baru yang mempunyai pakej tidak kurang hebat, Eyka mengangguk.
Dia kemudian menjawab ringkas. Katanya yang menyifatkan kejayaannya menjadi pelakon sebagai satu mimpi: “Menjadi atau tidak menjadi itu adat. Macam ada kalah dan ada menang, adat.
No comments:
Post a Comment