Monday, June 20, 2011

Album RM100,000 Dayang


DI KALA penyanyi lain hanya berani mengeluarkan single terbaharu disebabkan pasaran yang tidak mengizinkan, Dayang sebaliknya tampil bersama album Sayang & Cahaya buat para peminatnya.

Album yang memperuntukkan kos persendirian berjumlah RM100,000 itu dilihat sebagai tindakan berani Dayang di saat trend muat turun lagu di laman sesawang menjadi pilihan rakyat di Malaysia berbanding daripada membeli sebuah album.

Apa pun, Dayang yakin dengan berbekalkan Sayang & Cahaya yang mengandungi sebanyak 12 buah lagu, ia akan diterima peminatnya dan mampu memberi inspirasi kepada semua.

"Dayang harap peminat-peminat dapat menerima album ini dengan hati yang terbuka. Selama empat tahun tidak menghasilkan album, saya tampilkan album Sayang & Cahaya yang lebih matang dan sempurna.

"Selama setahun menyiapkan album ini, saya juga belajar pelbagai proses menulis dan menghasilkan lagu. Saya juga banyak mengikut kata hati untuk menghasilkan album kelapan milik saya ini," katanya.

Ditanya kenapa sering memilih perkataan sayang untuk judul albumnya, Dayang memberitahu, sayang itu melambangkan rasa kasih sayangnya kepada peminat yang sentiasa menyokong kariernya selama ini.

Bercerita tentang album tersebut, kata Dayang kesemuanya berkisarkan tentang lagu-lagu cinta yang mempunyai nilai positif.

Antara lagu dimuatkan adalah Sayang ciptaan Omar K lirik oleh Nuur Iman, Rahsia Cinta hasil nukilan Zain Almohdzar dan Nuur Iman, Sabarlah (Syed Zain Almohdzar/Omar K), Kau Bintang Ku (My Sunshine) (Stella Reid/Zuriani Zonneveld/Nuur Iman) dan lagu popular Freedom, Mulanya Di Sini yang diberi nafas baharu.

Sementara itu, album yang sudah berada di pasaran sejak sebulan lalu ini turut menampilkan beberapa komposer terkenal seperti Yasin, Afdlin Shauki, Omar K dan Audi Mok manakala dua lagu berjudul Sayang dan Perlukan Cinta menampilkan dua penyanyi Indonesia iaitu Marcell dan Tompi sebagai pasangan duetnya.

No comments:

Post a Comment