KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Indonesia, Ashanty Siddik Hasnoputro, 27, (Ashanty) mengakui kerjasamanya dengan komposer Anang dalam album duet Jodohku berjaya melonjakkan populariti dirinya yang kurang dikenali sebelum ini.
Ashanty berkata, walaupun ada yang melabelnya ingin menumpang populariti bekas suami Krisdayanti itu untuk popular secara mendadak, dia sebaliknya menerima dakwaan tersebut dengan hati terbuka.
"Memang tidak saya nafikan, saya semakin dikenali sejak berduet dengan Anang. Walaupun ada yang anggap saya ingin menumpang nama Anang, saya tidak kisah dan terimanya secara positif.
"Sememangnya, kerjasama ini adalah batu loncatan yang baik buat orang baru seperti saya kerana profil Anang dalam bidang muzik sememangnya diperakui umum," katanya.
Apabila ditanya tentang hubungannya dengan Anang sejak dua bulan lalu, Ashanty berkata, kejujuran yang dimiliki oleh bapa kepada dua anak itu memikat hatinya.
"Pada awalnya, kami hanya berurusan atas dasar profesional. Perasaan sayang pada Anang hadir ketika kami merakamkan lagu Kekuatan Hati untuk album duet tersebut.
"Dia seorang yang tenang dan jujur. Dia berjaya mengubah saya daripada seorang wanita yang bersikap agak kasar dan kelakian sebelum ini kepada seorang yang lebih lemah-lembut dan ayu," katanya yang tidak kisah untuk menerima duda seperti Anang dalam hidup.
Selain album duet itu, wanita berbintang Scorpio ini juga dijangka akan melahirkan tiga buah album lagi di bawah produksi Anang termasuk album runut bunyi untuk muzikal, Penyanyi di samping anak Anang iaitu Aurell.
Ashanty yang mula aktif sejak 2009 pernah menghasilkan album sulung yang berjudul Ashanty pada tahun yang sama.
No comments:
Post a Comment