EMPAT tahun bukan satu jangka masa yang pendek lebih-lebih lagi kesanggupan untuk menunggu seseorang dalam tempoh waktu yang sebegitu panjang. Kalau bercinta sudah bertemu jodoh dan beranak-pinak. Namun, bagi penyampai radio Fly FM, Hunny Madu, 27, dia tidak kisah menunggu selama empat tahun asalkan orang yang ditunggu itu merupakan penyanyi hebat Anuar Zain.
Memang agak gila kedengaran ayat ini dituturkan daripada mulut seksi penyampai radio itu, tetapi Hunny mempunyai alasan tersendiri mengapa dia bertindak sebegitu sementelah ramai yang mengetahui statusnya kini sudah berkahwin.
Pemilik nama penuh Hani Farhana Mohd. Hatim itu sebenarnya mempunyai sebab kenapa dia menginginkan Anuar. Hunny sudah lama membuat rencana untuk berduet dengan penyanyi kesayangannya itu.
Buktinya, wanita berzodiak Aries itu juga telah menciptakan lagu khas untuk adik kepada penyanyi Ziana Zain itu.
“Sejak kecil lagi saya memang sukakan Anuar. Cara dia menyampaikan lagu. Cara dia melontarkan perkataan demi perkataan sangat mengasyikkan.
“Jadi, saya hasilkan lagu Kisah Kita untuk dia dan berharap untuk berkolaborasi bersamanya. Jika Anuar tidak terima, saya tidak akan keluarkan lagu ini dan tidak akan beri pada sesiapapun,” tuturnya ketika ditemui selepas majlis sidang media memperkenalkan album pertamanya Pulau Janji di Kuala Lumpur Performance Arts Centre (KL Pac), Kuala Lumpur.
Namun, ramai yang beranggapan penantiannya hanya akan membuahkan hasil yang sia-sia. Ibarat seperti menunggu buah yang tidak akan jatuh. Sebabnya, Anuar memang sangat cerewet dalam memilih lagu. Penyanyi bersuara lantang itu juga dikatakan sangat mementingkan kesempurnaan lagu yang akan dinyanyikannya.
Disebabkan itu, proses membabitkan pemilihan lagu untuk album Anuar sahaja memakan masa sehingga lima tahun!.
“Saya sanggup menunggu dia (Anuar Zain). Empat tahun lalu, saya ada berjumpa dia dan beritahu, ‘abang, Hunny ada tulis lagu untuk abang’. Empat tahun berlalu, lagu itu kemudiannya saya rakam dan saya bertemu Anuar sekali lagi dan beritahu mengenai lagu itu.
“Anuar suruh saya e-mel lagu tersebut dan akhirnya penantian saya selama empat tahun terjawab. Anuar menyatakan persetujuannya menyanyikan lagu itu dalam album saya,” katanya yang turut mengakui lagu Kisah Kita mengambil masa selama tujuh bulan untuk dirakamkan.
Mencipta populariti menerusi radio Hitz FM, Xfresh dan kini Fly FM, Hunny percaya dan akan membuktikan kebolehannya dalam menghasilkan lagu dan juga menyanyi.
Pelakon dan juga pengacara itu juga menolak pemilihan Anuar dikatakan semata-mata untuk menumpang populariti figura tersohor itu.
“Kalau orang merasakan saya mahu menumpang populariti Anuar, mereka silap. Sudah lama saya ingin menyanyi bersama Anuar.
“Jika saya sekadar mahu menumpang populariti, bukan Anuar Zain sahaja yang boleh saya dapatkan, malah ramai lagi artis lain. Namun, saya tetap memilih Anuar Zain kerana dia sememangnya orang yang saya mahu dan teringin untuk bergandingan,” katanya dengan yakin.
Optimis
Tidak hanya memfokuskan satu genre lagu sahaja di dalam albumnya, Hunny memberitahu, dia tidak mahu terikat dengan satu-satu genre sahaja.
Katanya, dia takut mahu melabel dirinya sebagai penyanyi bergenre apa. Hunny juga mengaku tidak puas mencuba satu-satu genre sahaja.
“Saya tidak tahu melabelkan diri penyanyi genre apa. Saya nyanyi semua jenis lagu. Jadi, saya tidak mahu terikat pada satu genre sahaja.
“Sebagai penyampai radio, Hunny juga dengar pelbagai jenis lagu, jadi keinginan Hunny juga kepada lagu-lagu yang berbeza,” katanya yang mendapat inspirasi menghasilkan lagu melalui lagu-lagu yang didengar.
Kendengaran lagunya bakal menjadi sasaran pendengar urban, ditebak soalan itu kepada Hunny, dia memberitahu, tidak menghasilkan lagu untuk sasaran tertentu sahaja.
Harapannya agar semua sasaran pendengar menyukai buah tangan pertamanya itu.
Adat setelah berkahwin pasti ramai menunggu dan tertanya-tanya bila ingin menimang cahaya mata. Sudah mendirikan rumah tangga dengan pasangannya Azhar Abdul Khalid, 35, pada bulan April tahun lalu, Hunny juga tidak terlepas daripada pertanyaan tersebut.
“InsyaAllah tahun depan saya mengandung. Buat masa ini saya begitu sibuk dengan promosi album dan juga kerjaya sebagai penyampai radio,” katanya yang juga tidak menolak jika ditakdirkan mengandung pada tahun ini.
Ditanyakan mengenai bidang pengacaraan dan juga lakonan, kata Hunny, bidang pengacara ibarat kerjaya hariannya manakala bidang lakonan hanya sekadar mencuba.
“Cukuplah sekadar lakonan saya di dalam drama 5 Jingga. Fokus saya sekarang adalah nyanyian dan penyampai radio,” katanya yang juga tidak menolak jika ditawarkan berlakon asal bersesuaian dengan watak dan menarik minatnya.
Rutin jadualnya kini bukan sekadar di konti radio Fly FM dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari tetapi juga menyanyi dan mengacara. Melihat kekangan masa yang dihadapi Hunny tidak timbulkah amarah sang suami?
Kata Hunny, dia bersyukur kerana mendapat sokongan kuat daripada keluarga dan suaminya.
“Suami menyokong minat saya dalam industri muzik ini sebelum kahwin lagi, jadi tiada sebarang halangan daripada mana-mana keluarga,” tuturnya.
No comments:
Post a Comment