Friday, June 24, 2011

Siapa juara Maharaja Lawak


SIAPA yang bakal bergelar juara sulung Maharaja Lawak dan membawa pulang hadiah wang tunai RM300,000? Persoalan itu akan terjawab malam ini apabila semua empat finalis melakukan persembahan terakhir di Stadium Malawati, Shah Alam.

Berdasarkan undian yang diterima pada semua 11 minggu terdahulu, kumpulan Jozan yang dibarisi Johan dan Zizan dijangka memiliki kelebihan untuk bergelar juara.

Jozan sering menerima undian tertinggi termasuklah pada pusingan separuh akhir di Stadium Tertutup Bandaraya Johor Bahru minggu lepas. Finalis Raja Lawak musim pertama itu menerima 61 markah menandingi empat lagi pesaingnya iaitu Sepah (56), Nabil (55), Jambu (49) dan R2 (35).

Begitupun, kehebatan Sepah yang begitu konsisten dalam setiap persembahan juga tidak boleh diperkecilkan. Gandingan Mamat, Shuib dan Jep dilihat begitu mantap sehingga sering dilabel sebagai ‘Bujang Lapok Moden’ oleh juri tetap, Saiful Apek.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Johor lalu, Sepah menerima tepukan paling gemuruh terutama pada persembahan kedua dengan dibantu artis jemputan, Yasin Senario.

Namun bagi juara Raja Lawak musim ketiga itu, persembahan terbaik yang diberikan bukan untuk diiktiraf sebaliknya sebagai tanda penghargaan untuk semua peminat.

“Setiap minggu kami akan cuba untuk memberikan yang terbaik tetapi kami tidak pernah fikir untuk sampai ke peringkat akhir.

“Kami rasa bertanggungjawab untuk memberikan yang terbaik sebagai tanda penghargaan untuk semua peminat yang tidak putus-putus menyokong kami semalam ini,” kata Shuib.

Sementara itu, seorang lagi finalis, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil turut mempunyai peluang untuk bergelar juara.

Satu-satunya peserta solo yang beraksi pada peringkat akhir, Nabil masih mampu untuk memberikan persembahan menarik sama seperti peserta berkumpulan lain.

Pada peringkat separuh akhir, Nabil menerima komen positif daripada juri tetap, Ahmad Idham yang menganggap ia sebagai persembahan terbaik Nabil sepanjang 11 minggu penyiaran Maharaja Lawak.

Finalis terakhir, Jambu pula bagai diberi peluang kedua selepas diumumkan tersingkir bersama-sama R2 pada peringkat separuh akhir lalu.

Pihak juri akhirnya memutuskan untuk menggunakan imuniti terhadap gandingan Yus dan Taukeh bagi membolehkan mereka beraksi pada peringkat akhir.

Menurut Ahmad Idham, mereka memilih Jambu berdasarkan persembahan mereka sebelum pusingan separuh akhir yang dianggap hebat sehingga pernah menduduki tangga teratas.

“Tambahan pula, secara peribadi saya tidak gemar jika hanya ada tiga peserta sahaja yang bertanding pada pusingan akhir.

“Saingan akan jadi kurang kompetitif dan peserta akan lebih santai kerana mereka akan tetap menerima hadiah meskipun berada di tempat terakhir.

“Namun jika ada empat finalis, sudah pasti mereka akan melakukan persembahan yang lebih menarik untuk menjadi juara atau sekurang-kurangnya merebut tiga kedudukan terbaik,” katanya.

Juara Maharaja Lawak akan ditentukan melalui 50 peratus markah yang diberikan oleh juri dan 50 peratus lagi menerusi undian penonton.

No comments:

Post a Comment