ASHANTY SIDDIK kini adalah satu figura hiburan yang cukup hangat di Indonesia. Dia sudah mendiami industri hiburan di republik tersebut sejak tahun 2009 dan mempunyai sebuah album solo berjudul Ashanty.
Namun pada waktu itu, diri wanita berusia 27 tahun ini tidak mendapat liputan meluas seperti hari ini.
Hari ini, berita tentang Ashanty tidak pernah ketinggalan daripada menjadi sorotan media Indonesia. Semuanya gara-gara kisah percintaan dia dengan Anang Hermansyah, 42.
Dia mengaku, jika bukan kerana Anang, dirinya pasti tidak terkenal. “Itu adalah hal yang tidak boleh saya bohongi. Memang saya terkenal kerana Anang,” katanya.
Namun apabila mula menjadi terkenal, anak bongsu dari lima beradik ini sukar untuk beradaptasi dengan suasana baru ini. Paling ditakutinya, kalau dia dijangkiti sindrom perasan superstar. Dan lagi, setiap hari diekori media adalah hal asing baginya.
“Mama paling tidak suka, dia tidak suka gosip. Saya sendiri juga kurang selesa apabila diekori dan saban hari berita tentang saya tersiar.
“Tetapi lama-kelamaan, saya dan mama mula membiasakan diri. Jujurnya, saya okey menjadi perhatian, namun saya tidak mahu dijangkiti sindrom superstar,” luah Ashanty jujur.
Ada sebab mengapa ibunya tidak gemar anak bongsu daripada lima beradik itu menjadi perhatian umum. Ini kerana dia lahir dalam keluarga bijak pandai.
Arwah bapanya, wakil diplomat Indonesia, paling menentang pilihan dia menjadi penyanyi. Adik-beradik yang lain juga menjadi sebahagian pekerja kolar putih, hanya dia seorang sahaja yang memecah tembok itu untuk memenuhi impiannya menjadi penyanyi.
“Famili menentang saya menyanyi. Mereka kata saya harus melakukan pekerjaan yang serius. Namun saya tetap memilih bidang ini.
“Itu pun selepas saya menjadi lulusan dalam Perhubungan Antarabangsa di Universitas Paramadina dan ayah juga sudah terlalu tua sewaktu saya mula menyanyi sebelum setahun kemudian dia meninggal dan tidak sempat melihat kejayaan saya hari ini dalam bidang yang saya pilih,” jelasnya panjang lebar.
Kini bersama Anang yang bukan sahaja rakan duet, malah kekasihnya, Ashanty meraih sukses yang tidak sedikit. Kolaborasi yang baru terjalin sejak Oktober tahun lalu menerusi album yang baru memasuki pasaran pada 14 Mac lalu, Jodohku, begitu mendapat perhatian, setinggi perhatian yang diberi terhadap kisah asmara mereka berdua.
Ditanya tentang cinta yang tersimpul antara mereka berdua, Ashanty memberitahu ia baru berusia dua bulan dan masih terlalu awal untuk memberi persetujuan terhadap lamaran Anang untuk menikahinya.
Mengaku seorang yang begitu realistik dalam bercinta, kata Ashanty dia masih memerlukan waktu, paling lama setahun untuk mengenal baik buruk hubungan mereka.
“Saya pernah berpacaran selama empat tahun sebelum ini dan yakin bahawa kekasih saya itu adalah orang yang akan saya nikahi, tetapi ternyata tidak.
“Jujurnya, untuk percintaan saya dengan Anang, saya sendiri masih belum yakin. Usia percintaan kami baru dua bulan, semuanya masih manis.
“Saya memerlukan masa lagi untuk mengenal perhubungan ini. Sementelah ini adalah hubungan pertama saya dengan lelaki yang jarak usianya 14 tahun. Kemudian, Anang sudah punya dua anak dan saya takut tidak mampu untuk menjadi yang terbaik buat mereka.
“Oleh kerana saya kini adalah seorang pencinta yang realistik berbanding dulu, justeru saat dia melamar untuk menikahi saya, saya tidak boleh terus setuju. Biar perjalanan ini mengalir dulu. Jangan paksa perasaan kita,” kata Ashanty yang memberitahu Anang cukup manja dan seperti anak kecil apabila mereka mula bercinta.
Lasak
Mempunyai sepasang mata bundar, rambut ikal, pinggan bak kerengga dan pendek kata sempurna sebagai seorang wanita lawa, Ashanty memberitahu, penampilan yang dibawanya pada hari ini adalah satu transformasi yang sukar buatnya.
Ini kerana dia pada awalnya adalah seorang wanita yang lasak, tidak suka berhias dan hanya mengenal jeans serta t-shirt.
Namun sebaik menjadi pasangan duet Anang, imej lasaknya harus dikikis. Dia perlu menjadi wanita dengan penampilan serba-serbi rapi dan tampil lebih feminin.
Katanya: “Dulu, saya jenis wanita yang hanya akan memakai jeans dan t-shirt. Saya juga tidak bersolek.
“Tetapi kini, semua berubah. Kata Anang, saya kepunyaan publik. Jadi perlu selalu tampil cantik. Pada awalnya, memang susah transformasi ini, tapi kini saya mula menyukainya.”
No comments:
Post a Comment